Pemain positif Covid-19, lagi aksi Liga M ditangguh

0
2

MALAYSIAN Football League (MFL) hari ini mengumumkan dua perlawanan Liga Premier iaitu Kuching City FC (KCFC) menentang Terengganu FC II (TFC II) dan Sarawak United FC (SUFC) bertemu Perak FC II terpaksa ditunda.

Mengikut jadual asal, KCFC akan menanti kunjungan TFC II di Stadium Negeri jam 4.15 petang hari ini manakala SUFC berdepan Perak FC II esok jam 8.15 malam di venue sama.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, keputusan menangguhkan dua aksi itu dibuat selepas beberapa pemain dan pegawai SUFC serta KCFC positif Covid-19 menerusi ujian PCR.

“Keputusan dibuat berikutan seorang pemain SUFC didapati positif setelah 14 pegawai dan 22 pemain menjalani saringan PCR pada 22 Julai sebelum perjalanan ke Sarawak.

“Sementara berkenaan situasi dialami KCFC, tiga pegawai dan tiga pemain didapati positif setelah menjalani saringan RTK,” katanya menerusi kenyataan disiarkan di laman web MFL.

Berdasarkan perkembangan terbaharu itu, tiga aksi Liga Malaysia (Liga M) terpaksa ditunda minggu ini termasuk aksi Liga Super Kedah Darul Aman FC dan Penang FC di Stadium Darul Aman malam ini.

Aksi derby utara itu terpaksa ditangguhkan selepas dua pemain Kedah disahkan positif Covid-19 menerusi ujian PCR pasukan sebelum pemain memulakan Camp Based Training.

Ab Ghani berkata, tarikh baharu perlawanan berkenaan akan dimaklumkan kelak dan berharap semua pemain dan pegawai terus meningkatkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi menjaga Gelembung Sukan demi kelancaran liga. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here