Pesan nasi ganja guna helikopter: Polis panggil individu bergelar Datuk

0
1

POLIS Perak telah mengenal pasti beberapa individu termasuk seorang bergelar Datuk berhubung insiden sebuah helikopter mendarat di Padang Ipoh, semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata kesemua individu itu akan dipanggil dalam masa terdekat untuk diambil keterangan.

Katanya, sehingga semalam pemilik restoran yang menerima tempahan 36 bungkus nasi kandar itu telah pun dirakam percakapan.

“Kita telah panggil tauke restoran itu semalam dan lain-lain individu termasuk seorang Datuk akan dipanggil dalam masa terdekat.

“Kesemua mereka telah pun dikenal pasti dan akan direkod keterangan bagi membantu siasatan,” katanya memetik laporan Utusan Malaysia hari ini.

Sebelum ini, Mior Fariddalathrash berkata polis akan menyiasat sama ada individu atau syarikat yang menggunakan perkhidmatan helikopter bagi mengambil pesanan nasi kandar itu memiliki surat kebenaran rentas negeri.

Beliau dilaporkan berkata, siasatan dibuka berdasarkan kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) larangan rentas negeri atau daerah di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 Akta 342.

“Kalau mereka tiada kebenaran rentas negeri, jadi akan buka siasatan dan panggil pihak terlibat,” katanya.

Semalam, sebuah helikopter Bell 505 dikendalikan syarikat Systematic Aviation Services Sdn Bhd (SAS) mendarat di padang Ipoh pada jam 10 pagi bagi mengambil pesanan 36 bungkus nasi ganja.

Tempahan itu difahamkan dibuat pelanggan dari Kuala Lumpur di sebuah restoran nasi kandar terkemuka di bandar raya itu yang lebih dikenali sebagai nasi ganja. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here