AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman diminta menyenaraikan berapa orang dan siapa yang menderma lebih RM10,000 kepada tabung kutipan dana untuk jaminan kes mahkamah yang dihadapinya.
“Saya ingin tanya Syed Saddiq, boleh senaraikan berapa orang dan siapa yang derma lebih RM10,000 kepada tabungnya ini? Ada yang derma lebih dari itu? Perlu telus.
“Harap tiada taukey atau kroni yang derma beratus ribu. Dan silalah bayar cukai,” kata Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil menerusi hantaran di Facebooknya.
Mengulas lanjut, Isham berkata semalam Syed Saddiq mengumumkan memperoleh RM715,000 derma setelah beliau membuat siaran langsung di Facebook.
“Yang tonton live selama sejam di Facebooknya ada dalam 15,000 orang. Jumlah yang menonton setelah 24 jam adalah 964,000 orang. Tetapi yang menderma dalam 24 jam hanyalah 1 peratus iaitu 9,000 orang.
“Dalam 9,000 orang ini secara purata seorang derma RM70. Tidak semua yang derma sebanyak ini. Ada yang derma kurang dan ada yang derma lebih.
“Maksudnya tentu ada juga yang derma beribu-ribu atau berpuluh-puluh ribu seorang,” katanya lagi.
Semalam Syed Saddiq menerusi hantaran di Facebook mengumumkan kutipan dana untuk jaminan mahkamah telah mencukupi dan ditamatkan setelah mengumpul dana berganda iaitu RM715,523 daripada jumlah wang jaminan sebanyak RM330,000.
Menurut Syed Saddiq, beliau menutup pengumpulan dana itu kerana berjaya memperoleh lebih banyak wang daripada yang diperlukan, disumbangkan 9,836 orang.
Kelmarin, bekas Menteri Belia dan Sukan itu mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pecah amanah membabitkan wang lebih RM1 juta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Beliau turut mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan kedua di mahkamah sama iaitu menyalahgunakan wang sumbangan berjumlah RM120,000 untuk kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). – Malaysiapost

