HANYA 3,607 kes lagi untuk Malaysia mencecah keseluruhan sejuta kes positif Covid-19, selepas negara mencatatkan sebanyak 15,902 kes lagi hari ini.
Catatan terbaharu itu menjadikan keseluruhan kes dalam negara kini terus melonjak kepada 996,393 kes.
Jumlah 15,902 itu adalah yang tertinggi pernah direkodkan di Malaysia sejak wabak Covid-19 melanda, mengatasi rekod tertinggi yang dicatatkan semalam iaitu 15,573 kes.
Menurut infografik yang dikongsi di Facebook Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Selangor terus menunjukkan lonjakan apabila mencatatkan 7,351 jangkitan baharu, diikuti Kuala Lumpur dengan 2,406 kes.
Kes baharu di Kedah turut melonjak kepada 867 kes, diikuti Johor (804), Sabah (712), Melaka (631), Negeri Sembilan (625), Pulau Pinang (505) dan Kelantan (502).
Perak mencatatkan 469 kes, Pahang (406), Terengganu (267), Sarawak (261), Putrajaya (59), Labuan (30) dan Perlis (7). – Malaysiapost

