BAHAYA jika mengambil remeh penjagaan postur leher!
Perkara itulah yang terjadi kepada pengacara, Naz Rahman yang sekali gus memaksanya menjalani pembedahan untuk merawat saraf tunjang yang mampat di bahagian lehernya.
Menurut Naz atau nama sebenarnya, Nazruddin Habibur Rahman, 42, beliau mulai rasa kesakitan itu sejak 15 tahun lalu, namun hanya sekitar Mac lalu menjalani pembedahan selepas tangan kanan mengalami kebas dan terjadi insiden memalukan.
“Saya terlalu banyak melakukan kerja suntingan dan membiarkan tengkuk tertunduk sangat lama, disebabkan itu saraf tunjang menjadi sempit. Saraf itu terkepit lama-kelamaan ia menjadi kecil.
“Sebenarnya selama 15 tahun saya dah rasa sakit tapi mula-mula ingat angin lepas urut-urut pun tak rasa apa. Lama-kelamaan, kesan daripada sakit itu, tangan saya menjadi kebas.
“Tangan saya dah tak boleh buat apa-apa. Pernah ketika saya sedang mengacarakan program tiba-tiba microfon tercampak. Beberapa kali juga berlaku dan sampai rasa malu.
“Doktor pun marah saya, kenapa sampai melarat baru jumpa. Daripada melarat, saya pun ada tiga anak, masih muda dan lebih baik buat sekarang,” katanya seperti dilaporkan Mstar.
Pengacara jalan-jalan cari makan itu selamat menjalani pembedahan tersebut pada Mac lalu sekali gus menyebabkan gangguan pada fungsi tangan kanannya selama lebih setahun.
Walaupun belum pulih sepenuh namun beliau terpaksa kembali berkerja demi kelangsungan hidup.
“Alhamdulillah, tangan yang sebelum ini kebas dah semakin pulih. Sebenarnya keadaan saya masih lemah dan doktor kata jangan buat kerja lagi tapi apa nak buat. Siapa nak bagi makan anak-anak saya.
“Jadi saya beranikan diri dan terpaksa juga bekerja tapi masih menjalani rawatan fisioterapi. Untung masa PKP tak ada kerja, jadi kita gunakan masa itu untuk recover,” katanya. -Malaysiapost

