Rosyam Nor imbau hidup susah sebagai anak setinggan

0
2

Nilam Oshman

PELAKON dan pengarah, Datuk Rosyam Nor mengimbau kenangan hidup susah zaman kanak-kanak ketika tinggal di setinggan Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur.

Rosyam atau nama sebenarnya Mohd Noor Shamsudin mengakui banyak pengalaman sukar dan perit dilaluinya ketika kanak-kanak sehinggalah akhirnya menceburi industri hiburan.

Rosyam, 53, berkata di penempatan setinggan yang kini dikenali sebagai Bangsar South itulah tempat dia enam beradik dibesarkan oleh ibu, Rubiah Kamarudin dan bapa, Shamsudin Mohd Yusof.

Hidup daif di bandar

Pelakon filem KL Gangster 2 itu mengimbau, walaupun tinggal di bandar, kehidupan mereka sekeluarga daif apabila rumah hanya berlantaikan tanah dan minum air perigi.

“Makan pun kena catu… makan pagi, nasi malam tadi, itu sarapannya. Tengah hari ada makanan, itu untuk makan malam. Ikan tu patah dua, pagi setengah malam setengah.

Rosyam ketika membintangi filem KL Gangster 2

“Perkara ini kena cerita pada orang muda bahawa suatu ketika dulu, maaf saya cakap, orang Melayu dari segi ekonomi ini ‘bangsat’.

“Saya membesar di kawasan itu dan melihat kedaifan pada diri saya, keluarga, kawan-kawan. Dulu bapa saya pemandu di Tenaga Nasional (Lembaga Elektrik Negara), manakala emak mencangkung mengambil upah cuci baju di rumah orang Cina, masa itu tak ada mesin basuh.

“Tiga rumah dalam satu hari, saya teman emak dan lihat dirinya memakai kain lusuh mencangkung cuci pakaian termasuk pakaian dalam,” katanya dalam program Konvensyen Founder Legend Sukses Sifu 2020 anjuran Dewan Perdagangan dan Industri Asean (DPIA), baru-baru ini.

Program itu dihoskan Timbalan Presiden DPIA, Datuk Sohaimi Shahadan.

Rosyam menceritakan perjalanan hidupnya kepada Datuk Sohaimi Shahadan

Berdikari cari duit poket

Bercerita lanjut, Rosyam berkata kehidupan perlu diteruskan dan dia membesar dengan berdikari mencari duit poket sendiri menjual kuih dan berkerja di kedai runcit.

“Pagi-pagi jual kuih, umur saya 13 tahun dah mula bekerja di kedai runcit… mula berdikari dan saya nampak di situlah mengajar saya erti kehidupan dan perniagaan.

“Dari situ, saya tanam minat untuk berniaga, saya dah pegang duit walaupun duit orang. Biar kita tak ada (kelulusan) akademik, biar kita datang dari orang yang susah tapi rezeki itu Allah yang tentukan,” katanya.

Menyentuh kehidupan remajanya, menurut Rosyam, selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), beliau pergi ke rumah bapa saudaranya yang dipanggil Pak Ngah, iaitu Allahyarham Hussein Abu Hassan, yang menawarnya peluang ke dunia lakonan.

“Di situlah bermula era saya sebagai pelakon dan ahli perniagaan, menjual bakat dan membentuk syarikat bernama Rosyam Nor.

Membina jenama Rosyam Nor

“Rosyam Nor ini ‘branding’, kini saya ada Suhan Movies, jadi kita kena bayangkan bahawa nama kita itulah nama syarikat kita,” ujarnya sambil menjelaskan Rosyam Nor adalah gabungan nama ibu dan bapanya.

Menceritakan detik awal dalam bidang produksi, Rosyam berkata, dia bekerja di syarikat Berjaya Filem Production Sdn Bhd dan sanggup melakukan kerja cuci tandas kerana mahu dekat dengan industri.

Rosyam turut membintangi filem KL Special Force

“Jadi, tipsnya bila nak meniaga, bermula dari diri kita, impian, berfikir dan usaha.

“Setiap hari perlu lihat di cermin dalam lima hingga 10 minit, tanya diri… siapa diri kita, apa kelebihan dan kekurangan kita… jangan tengok orang lain berjaya, kita nak buat macam orang tu kerana setiap manusia yang Allah jadikan ada kelebihan, jadi hargai kelebihan dan ia lebih mudah.

“Contoh, saya minat berlakon jadi saya teruskan kelebihan saya dalam lakonan. Alhamdulillah dari minat itu, ia berkembang,” katanya.

Rosyam yang kini turut memiliki pasar raya ST Rosyam Mart menjelaskan sesuatu perniagaan perlu berlandas agama dan Allah. – Malaysiapost