Tahanan solat berjemaah: Pemuda PAS mohon penjelasan PDRM

0
2

DEWAN Pemuda PAS memohon polis memberi penjelasan berhubung isu penahanan 49 individu kerana solat sunat Aidiladha berjemaah di pekarangan sebuah surau di Juru, Pulau Pinang, 20 Julai lalu.

Ketua Penerangannya, Nazir Helmi berkata ini kerana mereka yang ditahan telah digari dan memakai baju oren seperti sekumpulan tahanan jenayah berat.

Katanya, tindakan tersebut telah menimbulkan keresahan masyarakat awam terutamanya bagi saudara muslim dan Pemuda PAS merasakan ia suatu yang berat untuk dipertontonkan.

“Adakah dengan melanggar prosedur operasi standard (SOP) seperti yang dinyatakan menyebabkan mereka diperlakukan begitu atau kumpulan ini mempunyai rekod kesalahan lain?

“Ini supaya masyarakat awam jelas dengan tindakan pihak polis melaksanakan tindakan sedemikian,” katanya menerusi kenyataan.

Nazir berkata, kekhuatiran masyarakat awam untuk diperjelaskan tentang perkara itu adalah bagi mengelak sebarang pandangan sinis terhadap SOP PDRM dan layanan berkaitan dengan saudara muslim yang mungkin asing dengan SOP dikuatkuasakan.

Beliau bagaimanapun menghargai ketegasan polis atas tindakan pantas menahan mereka yang melanggar SOP tersebut.

Pada pagi Aidiladha lalu, 49 lelaki dipercayai melanggar SOP dengan menunaikan solat sunat Aidiladha di luar pekarangan Surau Taman Pelangi di Juru, direman bagi membantu siasatan.

Kesemua suspek terdiri 48 warga Bangladesh berusia 20 hingga 43 tahun direman empat hari bermula hingga 24 Julai.

Manakala, seorang warga tempatan berusia 64 tahun direman tiga hari hingga hari ini.

Ketika mendapatkan perintah reman di Mahkamah Bukit Mertajam, mereka digari dan dipakaikan baju oren serta berkaki ayam hingga mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here