Kerajaan suruh stay home, bukan pergi homestay – Najib

0
1

DATUK Seri Najib Razak mempersoal kenyataan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon yang meminta orang ramai jangan mempolitikkan isu makan bersama keluarga di sebuah inap desa, baru-baru ini.

Menurutnya, mengapa Mohd Rashid dan keluarganya boleh menginap di inap desa, sedang kerajaan kerap mengingatkan terus mengikuti prosedur operasi standard (SOP) dan duduk di rumah untuk mengekang penularan Covid-19.

“Timbalan Speaker merangkap Ahli Parlimen PPBM (Bersatu) minta orang ramai jangan politikkan isu dia menginap dan makan bersama dengan keluarga dalam restoran di homestay.

“Dia kata dia tak langgar sebarang SOP sebab dia mematuhi SOP pada setiap masa termasuk pakai mask di tempat awam.

“Apapun, ramai juga yang tanya kenapa kerajaan suruh rakyat ‘stay home’ bersama keluarga tapi dia pula bawa keluarga bersama ke ‘homestay’?,” kata Najib menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Terdahulu, Mohd Rashid didakwa melanggar SOP sekali lagi dengan makan jamuan Aidiladha ‘gaya tropika’ di sebuah inap desa di Batu Pahat, Rabu lalu.

Dakwaan itu susulan tersebarnya satu gambar tangkap layar menunjukkan Ahli Parlimen Batu Pahat itu dikatakan menghadiri program korban di premis berkenaan serta menjamu selera termasuk ketupat dan pelbagai juadah lain.

Setiausaha Sulit Mohd Rashid, Mohd Zaihan Mohd Zainal dalam kenyataan menjelaskan tidak timbul isu langgar SOP kerana gambar yang tular menunjukkan Mohd Rashid bersama isterinya, Datin Azizah Haron dan anak bongsu makan semeja.

“Saya ingin menjelaskan, ini gambar seorang bapa, ibu dan anak makan semeja dalam rumah homestay yang dikatakan sebagai langgar SOP.

“YB Dato’ Hj Rashid Hasnon bersama-sama YBhg Datin Azizah Haron (isteri) dan anak bongsu beliau makan semeja sementara menunggu sesi sembelihan lembu korban,” katanya.

Petang semalam, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata pihaknya membuka kertas siasatan berhubung isu gambar tular itu dan siasatan dijalankan di bawah Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

Jun lalu, Mohd Rashid juga didakwa melanggar SOP apabila beliau dan sekumpulan individu didapati memakan durian di sebuah kebun durian di Batu Pahat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here