SERAMAI 461 petugas kesihatan dilantik secara kontrak oleh Kementerian Kesihatan (KKM) bagi Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan dalam menangani peningkatan kes Covid-19.
Ketua Setiausahanya, Datuk Mohd Shafiq Abdullah, berkata selain itu 400 bekas petugas kesihatan turut dimobilisasi sebagai petugas tetap dan kontrak di tiga negeri berkenaan.
Menurutnya, mereka yang dimobilisasi itu terdiri pakar perubatan, pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan, jururawat, penolong pegawai kesihatan persekitaran, pembantu tadbir kewangan dan pemandu.
“Selain itu KKM melaksanakan langkah-langkah tambahan iaitu mobilisasi seramai 173 pengajar dan klinikal instructor tambahan dari Institut Latihan KKM ke Lembah Klang berkuakuasa pada 27 Julai ini.
“Manakala 170 pegawai pergigian dan 202 pegawai farmasi juga dimobilisasi ke Lembah Klang untuk tempoh dua bulan mulai 19 Julai lalu bagi membantu skop kerja di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV),” katanya dalam sidang media hari ini.
Beliau berkata, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) juga melantik secara kontrak 293 penolong pegawai perubatan Gred 29 untuk bertugas di Lembah Klang dan Negeri Sembilan.
Menurutnya, KKM turut menawarkan graduan kesihatan yang baru berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia untuk menjadi sukarelawan di PPV.
“Bagi tempoh 16 hingga 22 Julai seramai 20 graduan perubatan bersetuju menyumbang tenaga secara sukarela di PPV dan penglibatan ini untuk tempoh sementara sebelum mereka memasuki program latihan siswazah dijangka pada Ogos ini.
“KKM amat mengalu-alukan kesukarelawan mereka untuk membantu,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata KKM sentiasa menjaga kebajikan pegawai berkaitan termasuk isu elaun, tempat tinggal dan sebagainya yang dibangkitkan di media.
“Berkaitan tuntutan elaun, ia boleh dikemukakan terus kepada ketua jabatan agar dapat diproses mengikut prosedur ditetapkan.
“Bagi elaun tugas atas panggilan atau ‘on call’ di Hospital Bersepadu Covid-19 MAEPS ia berada dalam pemerhatian kementerian dan permohonan sedang diuruskan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam dan dalam pertimbangan dan kelulusan,” katanya.
Menurutnya, dari aspek kewangan dan perolehan pula, setakat 21 Julai, KKM telah mengeluarkan RM200 juta bagi tujuan perolehan peralatan perubatan dan bukan perubatan di Lembah Klang. – Malaysiapost
Foto Kredit: FB/Kementerian Kesihatan Malaysia

