POLIS membuka kertas siasatan berhubung satu hantaran gambar yang tular di laman sosial memaparkan Ahli Parlimen Batu Pahat sedang makan bersama dua individu lain di sebuah ladang pertanian di Batu Pahat.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata siasatan dijalankan di bawah Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.
“Pihak polis akan memanggil Ahli Parlimen berkenaan dan pihak-pihak yang terlibat untuk membantu siasatan.
“Polis juga menasihatkan orang ramai supaya terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan agar bersama-sama dapat membendung wabak COVID-19 yang sedang melanda negara,” katanya menerusi kenyataan.
Berdasarkan gambar yang tular itu, Ahli Parlimen Batu Pahat yang juga Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon sedang makan bersama dua perempuan.
Hantaran berasingan juga mendapati beliau sedang bergambar dengan seorang lelaki dan dua perempuan tanpa memakai pelitup muka dan tiada perjarakan sosial.
Terdahulu, Setiausaha Sulit Mohd Rashid, Mohd Zaihan Mohd Zainal dalam satu kenyataan menjelaskan tidak timbul isu melanggar SOP kerana gambar yang tular itu menunjukkan Mohd Rashid bersama isterinya, Datin Azizah Haron dan anak bongsu makan semeja.
“Saya ingin menjelaskan, ini gambar seorang bapa, ibu dan anak makan semeja dalam rumah homestay yang dikatakan sebagai langgar SOP.
“YB Dato’ Hj Rashid Hasnon bersama-sama YBhg Datin Azizah Haron (isteri) dan anak bongsu beliau makan semeja sementara menunggu sesi sembelihan lembu korban,” katanya. – Malaysiapost

