LARANGAN rentas negeri semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak menghalang tempahan 36 bungkus ‘nasi ganja’ Ipoh, Perak ‘terbang’ menggunakan helikopter kepada pelanggan di Kuala Lumpur.
Ia selepas orang ramai dikejutkan dengan kehadiran helikopter milik syarikat swasta yang mendarat di Padang Ipoh.

Helikopter dinaiki dua lelaki itu dikatakan bertujuan mengambil pesanan tempahan nasi kandar dari sebuah restoran popular di bandar raya itu yang dikenali sebagai ‘nasi ganja’.
Memetik Utusan Malaysia, jurucakap restoran nasi ganja yang enggan namanya disiarkan mengesahkan menerima tempahan 36 bungkus berlauk ayam, daging, telur masin dari pelanggan di Kuala Lumpur.
Menurutnya, pada awalnya dia meragui sama ada tempahan itu benar atau gurauan kerana diberitahu pesanan akan diambil menggunakan helikopter.
“Saya agak ragu-ragu juga kerana tidak pernah ada pelanggan yang mengambil tempahan dengan menaiki helikopter.
“Namun saya terkejut kerana rupa-rupanya tempahan makanan memang benar diambil menggunakan helikopter.
“Ini pertama kali tempahan diambil pelanggan menggunakan helikopter. Ia saya sifatkan tempahan diambil dengan cara paling mewah yang pernah saya terima tetapi harga jualan tetap sama iaitu RM10 setiap bungkus,” katanya.
Mengulas pendaratan helikopter itu, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalatrash Wahid berkata setelah membuat semakan dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Ipoh, didapati helikopter tersebut hanya mendapat kebenaran mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), Ipoh.
“Helikopter tersebut didapati mendarat di Padang Ipoh pada jam 9.55 hingga 10.15 pagi ini. Helikopter tersebut tidak mendapat kebenaran mendarat di Padang Ipoh. Kita sudah salurkan maklumat ini kepada CAAM Ipoh,” katanya. – Malaysiapost

