Timbalan Speaker hanya makan bersama keluarga di inap desa

0
1

BELUM selesai kes ‘kenduri durian’, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon kini didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) sekali lagi dengan makan jamuan Aidiladha ‘gaya tropika’ di sebuah inap desa di Batu Pahat, Rabu lalu.

Dakwaan itu susulan tersebarnya satu gambar tangkap layar menunjukkan Ahli Parlimen Batu Pahat itu dikatakan menghadiri program korban di premis berkenaan serta menjamu selera termasuk ketupat dan pelbagai juadah lain.

Tangkap layar itu dikongsi di Facebook Ops Johor melalui satu hantaran hari ini yang mempersoalkan tindakan pemimpin masyarakat terbabit yang melanggar SOP ketika negara sedang berdepan peningkatan kes Covid-19.

“Timbalan Speaker Dewan Rakyat langgar SOP lagi? Kes “kenduri durian” hari tu pun tak tau apa kesudahannya.

“Kali ni boleh pula makan ketupat kat rumah orang. Pengalaman pertama katanya, gaya tropika!

“Difahamkan bukan hanya mereka bertiga berada di tempat kejadian. Selepas beberapa minit posting ini telah dipadam dan digantikan dengan posting baru,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Sulitnya, Mohd Zaihan Mohd Zainal dalam satu kenyataan menjelaskan tidak timbul isu melanggar SOP kerana gambar yang tular itu menunjukkan Mohd Rashid bersama isterinya, Datin Azizah Haron dan anak bongsu makan semeja.

“Saya ingin menjelaskan, ini gambar seorang bapa, ibu dan anak makan semeja dalam rumah homestay yang dikatakan sebagai langgar SOP.

“YB Dato’ Hj Rashid Hasnon bersama-sama YBhg Datin Azizah Haron (isteri) dan anak bongsu beliau makan semeja sementara menunggu sesi sembelihan lembu korban,” katanya.

Menurutnya, program korban itu berlangsung di Pusat Penyembelihan di Rengit, Batu Pahat selama 24 jam, manakala sesi sembelihan yang dilaksanakan oleh Mohd Rashid adalah pada jam 3 pagi.

“Justeru, mengetahui jadual menyembelih lembu adalah pada jam 3 pagi maka YB Dato’ Rashid dan keluarga telah menempah homestay atau rumah inap berdekatan dengan pusat sembelihan tersebut.

“Gambar yang sedang tular itu diambil awal pagi sebelum sesi penyembelihan tersebut bersama isteri dan anak beliau ketika menjamu hidangan ‘mentong’ (bahasa orang Johor) ataupun ‘supper’. Jadi, tidak timbul isu melanggar SOP,” jelasnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here