Ebit Lew masuk Gaza guna saluran betul – Wisma Putra

0
2

Nilam Oshman

WISMA Putra mengesahkan pendakwah, Ebit Lew menggunakan kaedah betul untuk memasuki Gaza bagi menyampaikan misi bantuan kemanusiaan kepada penduduk wilayah bergolak itu.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Kamaruddin Jaffar berkata pendakwah itu memohon memasuki Gaza melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN), Pejabat Perdana Menteri (PMO) serta Kementerian Luar Negeri (KLN) di Malaysia, selain Kementerian Luar Negeri Mesir.

Katanya, kerajaan sebelum ini telah membuat keputusan mana-mana rombongan ke Palestin khususnya Gaza untuk memberi bantuan, iaitu mesti melalui ketiga-tiga kementerian.

“Ada jawatankuasa dipengerusikan bersama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin di mana mereka akan mengkaji dan menilai segala permohonan apabila peringkat itu meluluskan dan dibenarkan keluar ke Gaza.

“Justeru, Kementerian Luar Negeri, mengambil alih proses itu dan menghubungi Kementerian Luar Negeri Mesir.

“Jika mereka hendak ke Jerusalem atau Baitulmaqdis, kita akan hubungi pihak Jordan untuk memaklumkan terdapat rombongan daripada Malaysia ke sana,” katanya selepas menyempurnakan program sumbangan bakul makanan kepada Parlimen Bandar Tun Razak oleh Prolintas hari ini.

Mengulas lanjut, Kamaruddin yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak berkata kaedah itu yang yang dilakukan ketiga-tiga kementerian dalam permohonan Ebit Lew ke Gaza serta Misi Bantuan Kemanusiaan Untuk Palestin (HM4P) oleh Biro Kebajikan Umno Malaysia (BKUM) diketuai Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

“Jadi keputusan terakhir sama ada mereka boleh memasuki Gaza atau tidak ditentukan oleh Kementerian Luar Negeri Mesir.

“Setakat laporan yang kita perolehi, Ustaz Ebit telah dapat masuk ke Gaza, seterusnya kita sentiasa berhubung antara kedutaan Malaysia di Kaherah dan Kementerian Luar Mesir untuk membolehkan mereka masuk ke Gaza,” katanya.

Mengulas dakwaan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Nadir Al-Nuri, bahawa bantuan lebih mudah diberikan jika melaluinya serta Ebit membayar syarikat besar untuk ke Gaza, Kamaruddin berkata beliau difahamkan selain kerajaan Malaysia dan Mesir, pasukan pendakwah itu dibantu oleh Bulan Sabit Merah.

“Jadi, pembelian barangan dan sebagainya lebih baik dibeli di Mesir atau Gaza, itu keputusan antara pihak Malaysia dan NGO-NGO ini. Bayaran pengangkutan untuk keselamatan dan sebagainya bukan di bawah kawalan mana-mana pihak termasuk kerajaan Malaysia,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here