Polis kesan sindiket manipulasi sistem pembayaran bil utiliti

0
2
grafik

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesan kewujudan modus operandi jenayah baharu yang memanipulasi sistem pembayaran bil utiliti untuk memperdayakan orang ramai.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata dalam kes yang dilaporkan, sindiket akan menghubungi mangsa yang mempunyai tunggakan bil utiliti.

Katanya, sindiket kemudian menawarkan mangsa diskaun sekiranya membenarkan mereka untuk melunaskan bayaran tunggakan bil utiliti mangsa.

Menurutnya, pihak sindiket memaklumkan akan mendahulukan wang mereka dalam urusan tersebut dan mendakwa resit bayaran akan digunakan oleh pihak mereka untuk mendapatkan pengecualian cukai.

“Setelah mendapat persetujuan mangsa, pihak sindiket akan menggunakan cek-cek yang tiada nilai (cek tendang) untuk membuat pembayaran melalui mesin deposit milik penyedia perkhidmatan utiliti.

“Setelah pembayaran dibuat, sistem penyedia perkhidmatan akan memaparkan rekod bahawa mangsa membuat pindahan wang kepada pihak mereka melalui akaun bank milik pihak ketiga.

“Mangsa hanya menyedari telah ditipu apabila pihak penyedia perkhidmatan gagal menunaikan cek-cek yang dimasukkan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Kamarudin berkata, sehingga kini satu laporan telah diterima di Kuala Lumpur bulan ini melibatkan kerugian sebanyak RM8,500 dengan kes masih dalam siasatan.

Sehubungan itu beliau menggesa orang ramai yang mungkin telah menjadi mangsa penipuan sindiket tersebut untuk tampil membuat laporan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here