Lokman Adam dirawat di HAT

0
1

BEKAS Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Adam memaklumkan kini sedang menerima rawatan di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan.

Beliau memberitahu telah lama tidak bersiaran di Facebook disebabkan kesihatannya tidak berapa baik, selepas seorang kenalan yang digelar ‘Pablo’ meninggal dunia akibat Covid-19.

Katanya, ujian swab telah dilakukan dan keputusan adalah negatif namun beberapa hari kemudian badannya mulai lemah, mengalami kesukaran untuk berjalan, dan tiada selera makan sehingga hilang 10 kilogram berat badan.

Malah, menurutnya beliau susah untuk bertutur dan mula sukar mahu mengingati sesuatu.

“Saya mula buat isolasi kendiri bila isteri dan anak juga demam. Namun keadaan oksiden saya jatuh di tahap 80 membimbangkan keluarga dan sahabat saya. Setiap hari saya dipujuk ke hospital namun saya menolak, saya tak nak jadi arwah Pablo,” katanya dalam hantaran Facebook.

Lokman Adam berkata, setelah dipujuk beberapa rakan politik termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, barulah beliau bersetuju untuk dimasukkan ke HAT.

“Atas usaha rakan-rakan politik saya terutamanya Senator Datuk Sri Ali Timbalan Speaker Dewan Negara meminta bantuan Datuk Syed Fazmi (Setiausaha Politik) Menteri Pertahanan dan YAB TPM sendiri, Abg Long Mail (Ismail Sabri), barulah saya setuju untuk dimasukkan di hospital ini semalam.

‘Saya masih percaya intergriti doktor-doktor tentera kita. Sangkaan saya ternyata benar. Hanya beberapa jam di sini, kudrat saya bertambah baik, oksigen naik ke 96 dan saya kembali boleh makan semula.

“Kalau siapa yang obesiti, tolonglah hantar pesakit tu ke sini. Esok saya akan jalani swab test, doakan keputusannya negatif hendaknya ya. Alfatihah Buat Pablo,” ujarnya.

Untuk rekod, sebelum ini Lokman membuat tuduhan terhadap Ismail Sabri ketika membuat ucapan video secara ‘live’ di Facebook pada 4 Julai lalu.

Beliau membuat tuduhan bahawa Timbalan Perdana Menteri cuba meyakinkan ahli-ahli Parlimen Umno untuk menjadi calon parti Bersatu jika tidak dipilih sebagai calon Umno pada Pilihan Raya ke-15 (PRU15).

Susulan itu, satu laporan polis dibuat Setiausaha Politik Ismail Sabri, Syed Mohd Fazmi Sayid Mohammad di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur.

Namun dengan perkembangan terbaharu ini menunjukkan Ismail Sabri tidak menyimpan apa-apa perasaan, sebaliknya sedia membantu Lokman yang berdepan masalah kesihatan.

Berdasarkan komen netizen di media sosial, mereka memuji sifat dan peribadi Ismail Sabri kerana walau apa juga keadaan tidak akan menjadikan ia sebagai halangan untuk membantu sesiapa yang memerlukan.

Malah, terdapat komen netizen yang menyifatkan Timbalan Perdana Menteri sebagai seorang peminpin berjiwa besar – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here