MITI terus jejaki kilang langgar SOP – Azmin Ali

0
2

PASUKAN Petugas Khas Covid-19 yang ditubuhkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan terus menjejaki dan mengambil tindakan tegas terhadap kilang yang ingkar prosedur operasi standard (SOP) serta beroperasi dengan memalsukan maklumat.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata kilang yang didapati tidak patuh SOP akan berdepan dengan penutupan akibat sikap tidak bertanggungjawab mereka.

Beliau berkata, pasukan terbabit tidak akan berkompromi dengan kilang yang gagal patuh SOP semasa pemeriksaan dijalankan.

“Ingin saya kongsikan, sejak 14 Januari hingga 19 Julai 2021, MITI telah membuat lawatan mengejut ke atas 2,340 kilang dan daripada jumlah itu 1,483 kilang telah melanggar SOP sektor pembuatan.

“Pemeriksaan ini dijalankan secara bersepadu bersama kementerian dan agensi lain berdasarkan aduan awam serta senarai Pengecaman Lokasi Panas untuk Libat Urus Dinamik (HIDE),” katanya dalam hantaran di Facebook malam tadi.

Beliau berkata, pemeriksaan akan dipertingkatkan lagi memandangkan masih ada kilang yang ingkar mengikut SOP ditetapkan seperti kehadiran pekerja melebihi kapasiti, beroperasi tanpa kebenaran dan lain-lain.

Katanya, pujian juga diberikan kepada kilang-kilang yang mematuhi SOP dan melaksanakan inisiatif tambahan dalam pelaksanaan SOP mereka dan ia patut menjadi contoh kepada kilang-kilang yang lain.

“Antara SOP tambahan dilakukan adalah tidak menggunakan sejadah di surau, memastikan pelitup muka kekal dipakai semasa bersolat dan meletakkan pensanitasi di setiap tangga.

“SOP lain seperti meletakkan nama unit atau bahagian di setiap meja makan di kantin, membuat ujian Covid-19 dengan kerap dan hanya membenarkan individu negatif untuk masuk ke premis,” katanya.

Beliau berharap dengan pematuhan SOP sedia ada dan SOP tambahan lebih ketat ini membantu mengekang penularan wabak Covid-19 di tempat kerja. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here