AHLI Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memohon sumbangan orang ramai untuk membantunya melunaskan wang ikat jamin berjumlah RM330,000 sebagaimana diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen Rasuah, semalam.
Menurut bekas Menteri Belia dan Sukan itu, sumbangan berkenaan juga bagi membiayai kos guaman.
“Sebagaimana yang anda tahu, saya tak datang daripada keluarga berada, keluarga dinasti… ibu ayah bukan pemimpin politik atau punya perniagaan yang kaya.
“Dan anda juga tahu saya menghabiskan tiga bulan gaji saya untuk membantu mereka yang terkesan kerana Covid-19 di Muar. Jumlah itu agak besar tapi saya hormati mahkamah dan hakim. Jadi saya benar-benar perlukan pertolongan anda.
Syed Saddiq yang juga pengasas parti MUDA telah menyediakan pautan untuk memudahkan orang ramai menghulurkan sumbangan terhadapnya.
“Saya dengan ikhlas merayu pertolongan anda untuk menyumbang. Link untuk derma telah saya kongsikan di ruangan komen. Kongsikan link ini bersama keluarga dan rakan.
“Walaupun sumbangan berjumlah 50 sen atau RM1 tapi kalau ribuan yang menyumbang, kita akan capai jumlah berkenaan dan saya mampu membayar kepada mahkamah. Jadi saya benar-benar perlukan bantuan anda,” katanya dalam siaran secara langsung di Facebook, malam tadi.
Menurut Syed Saddiq, dirinya diberi tempoh sehingga Selasa ini untuk menjelaskan baki ikat jamin berkenaan.
“Selama ini saya memohon bantuan ramai untuk mereka yang terkesan di Muar, pelajar dari keluarga B40, mangsa banjir… namun kali ini agak jarang berlaku di mana saya memohon bantuan anda untuk bantu saya berhubung wang ikat jamin dan yuran guaman,” katanya.
Bekas Ketua Armada Bersatu yang berusia 29 tahun itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pecah amanah setelah pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi.
Mengikut pertuduhan, Syed Saddiq pada 6 Mac 2020, yang ketika itu berjawatan Ketua Angkatan Anak Muda Bersatu (Armada), melakukan pecah amanah jenayah ke atas dana berjumlah RM1 juta.
Beliau membuat pengeluaran dana berkenaan melalui cek CIMB Bank Berhad bernombor 000108 tanpa mendapat kebenaran daripada Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB, Jalan Stesen Sentral, Kuala Lumpur.
Syed Saddiq didakwa melakukan Kesalahan itu di bawah Seksyen 405 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat serta denda.
Sementara itu, Syed Saddiq turut mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan kedua di mahkamah sama atas pertuduhan menyalahgunakan wang sumbangan berjumlah RM120,000 untuk kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). – Malaysiapost

