SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan penghargaan khas kepada para petugas dan sukarelawan di semua hospital dan pusat pemberian vaksin (PPV) Covid-19 di seluruh negeri itu yang bertungkus lumus ‘berkorban’ pada Hari Raya Aidiladha baru-baru ini.
Menerusi kenyataan hari ini, baginda menzahirkan rasa bangga dengan kegigihan pihak terlibat dalam usaha mempercepat suntikan vaksinasi kepada rakyat Selangor dan mendoakan agar pengorbanan mereka mendapat ganjaran setimpal.
“Sehingga 21 Julai (semalam), kadar vaksinasi rakyat Selangor yang memperoleh 1 dos suntikan telah mencecah 46.9 peratus atau 2.95 juta dos.
“Manakala, 15.27 peratus rakyat Selangor telah pun melengkapkan dos vaksinasi masing-masing,” titahnya.
Tegas baginda, kadar vaksinasi Covid-19 di Selangor perlu diperluas bagi mengurangkan kadar kematian yang mencecah 84 kematian sehari (semalam).
Dalam pada itu, baginda menyeru umat Islam di seluruh Selangor agar menghayati dan memahami intipati khutbah Aidiladha yang memberi penekanan kepada mengukuh perpaduan dan persaudaraan ummah.
“Khutbah Aidiladha bertajuk ‘Persaudaraan Umat Islam: Pengalaman Ibadah Haji dan Korban’ disampaikan oleh khatib pada 20 Julai (Selasa) lalu.
“Antara yang boleh diambil iktibar ialah matlamat pelaksanaan ibadah haji dan korban yang mengajar kita untuk terus mengukuhkan persaudaraan dalam kalangan umat Islam,” kata baginda.
Sultan Selangor juga bertitah, ibadah haji menuntut umat Islam dari pelbagai negara, bangsa dan warna kulit berkumpul bersama-sama sebagai satu jemaah dengan satu tujuan, iaitu semata-mata mahu mengabdikan diri kepada Allah SWT.
“Begitu juga dengan ibadah korban. Hukum melaksanakannya adalah sunat muakkad, bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.
“Ibadah ini mengajar kita untuk saling bermuafakat, bantu membantu antara satu sama lain dan dan sekali gus dapat mengukuhkan persaudaraan.” titahnya. – Malaysiapost

