Ku Nan dakwa jadi mangsa pendakwaan terpilih Tun M

0
4

BEKAS Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mendakwa beliau adalah antara mangsa pendakwaan terpilih apabila enggan mengikut arahan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata, namun beliau bersyukur kerana terlepas daripada pendakwaan berkenaan selepas dibebaskan Mahkamah Rayuan atas tuduhan menerima rasuah RM2 juta, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Tengku Adnan berkata, malangnya masih ada yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu khususnya Dr Mahathir yang mendakwa dirinya terlepas daripada hukuman kerana bersekongkol dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Aduhai Tun, sungguh menggelikan hati sebenarnya kerana Tun M sendiri sepatutnya amat kenal siapa saya. Bukankah Tun yang telah menjerumuskan saya dalam kancah politik, menarik saya untuk menceburi politik negara sedangkan saya ketika itu lebih selesa dalam bidang perniagaan.

“Persoalan kenapa saya diheret ke mahkamah memang bukan lagi rahsia. Saya adalah antara mangsa pendakwaan terpilih apabila enggan mengikut arahan dari Tun,” katanya menerusi Facebook.

Tengku Adnan berkata, bukan sekali pelawaan yang bertukar jadi pujukan dan kemudian arahan untuk beliau meninggalkan Umno serta menyertai ‘pengkhianat’ bangsa.

“Akhirnya ugutan sekiranya saya enggan tunduk bertukar menjadi realiti apabila saya didakwa di mahkamah atas alasan yang diada-adakan.

“Saya bukanlah lembu yang dicucuk hidung kerana jati diri dan maruah saya adalah tersemat untuk agama, bangsa dan tanah air yang telah saya ikrarkan,” katanya.

Mengulas lanjut, Tengku Adnan berkata, beliau didakwa dengan tuduhan rasuah bernilai RM2 juta yang tentunya bagi orang yang mengenali dirinya termasuk Dr Mahathir tahu bahawa nilai wang itu terlalu kecil kepadanya.

“Malah sewaktu saya dilantik sebagai Timbalan Menteri di JPM tahun 2000, saya telah mengsiytiharkan nilai aset saya berjumlah RM980 juta ketika itu sehingga Tun sendiri terkejut,” katanya.

Tengku Adnan berkata, sepanjang Dr Mahathir kembali berkuasa dan sehingga ke hari ini, beliau masih masih menggelarnya pencuri, penyangak, penyamun.

Katanya, tindakan Dr Mahathir itu hanyalah kerana beliau enggan menjadi ‘budak suruhan’ Ahli Parlimen Langkawi berkenaan khususnya untuk meninggalkan Umno.

“Tun jaja dan burukkan nama saya. Saya dipalit fitnah, dihimpit dengan macam-macam kesusahan, ditekan dan dimalukan dengan pendakwaan rasuah.

“Tak apa saya redha kerana yakin pada Allah biarpun saya melalui ruang yang panjang sesi perbicaraan, naik turun mahkamah sepanjang tiga tahun tetapi saya tidak akan alah,” katanya.

Tengku Adnan berkata, walaupun beliau tahu sekiranya dirinya memilih bersama parti Dr Mahathir, jawatan menteri telah sedia ada malah kes pendakwaan terhadapnya di mahkamah juga tentu akan digugurkan.

“Bukankah itu yang berlaku dalam pentadbiran Tun melalui kerajaan PH apabila membela pemimpin DAP pada 3 September 2018 dengan Mahkamah Tinggi umum melepas dan membebaskan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng daripada tuduhan rasuah sedangkan perbicaraan kes itu sedang berjalan dengan 25 saksi sudah dipanggil memberikan keterangan.

“Begitu sahaja kerajaan PH gugurkan kes Guan Eng yang kemudian dilantik sebagai Menteri Kewangan. Hal yang sama dalam kes mahkamah Rafizi Ramli, Tian Chua, Siti Kassim, YB Thomas Su MP Kampar, R Sivarasa MP Sungai Buloh dan N Surendan mantan MP Padang Serai,” katanya

Tengku Adnan berkata, selepas mahkamah membebaskannya, beliau ada berniat mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap Dr Mahathir, Tan Sri Tommy Thomas serta Gopal Sri Ram serta sebuah NGO kerana telah mempalit lumpur di mukanya sehingga perniagaannya terjejas.

“Tapi kemudian, demi Allah SWT, saya redha dan laluan yang tertulis dalam hidup ini saya ambil sebagai perjuangan untuk parti saya yang berjihad demi agama, bangsa dan tanah air,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap apa yang dilaluinya menjadi inspirasi buat anak muda untuk akur dan berjuang dengan ikhlas.

“Sebagaimana saya terbaca tentang bekas menteri muda yang didakwa kerana pertuduhan pecah amanah. Inilah nilai yang ada apabila tersalah pilih, gemar menggunakan jalan pintas,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here