Muhammad Mustakim Ramli
JOHOR Darul Ta’zim (JDT) mudah meratah Perak di laman sendiri setelah membelasah pasukan itu 7-0 pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.
Turun selaku pendahulu Liga Super, JDT jelas berada di kelas tersendiri apabila mempamerkan corak permainan lebih berkualiti.
Ia dibuktikan dengan empat gol yang berjaya dihasilkan JDT pada separuh masa pertama menerusi Afiq Fazail, dua gol daripada Gonzalo Cabrera dan Muhammad Ramadhan Saifullah Usman.
Memasuki separuh masa kedua, anak buah Mehmed Durakovic memulakan aksi dengan baik, namun terus tenggelam apabila tiga gol lagi menyusul.
Cabrera nyata menjadi duri dalam daging buat Perak apabila mencatat hatrik pada minit ke-50.
Safawi Rasid dan Akhyar Rashid kemudian masing-masing mencetak satu gol bagi memastikan JDT mencatat kemenangan bergaya.
Sementara itu dalam dua lagi aksi Liga Super, Selangor menewaskan Sabah 2-1 dalam aksi yang dilangsungkan di Stadium Likas, Kota Kinabalu.
Manakala, Melaka United meraih kemenangan 1-0 dilaman sendiri mengalahkan Terengganu. – Malaysiapost

