PTPTN bantu 8 beradik hilang ayah, ibu akibat Covid-19

0
2

NASIB lapan beradik yang menjadi yatim piatu sekelip mata selepas kehilangan ibu bapa akibat Covid-19, mendapat perhatian Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN).

Lapan beradik berusia empat hingga 19 tahun itu yang tinggal di Bukit Beruntung, Selangor kehilangan ibu bapa yang meninggal dunia dalam tempoh tiga hari, baru-baru ini.

Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata beliau sedih mendengar musibah melanda lapan beradik tersebut yang mana anak sulung merupakan pelajar Politeknik manakala tujuh yang lain masih belajar serta ada yang masih kecil.

“Saya telah mengarahkan pegawai PTPTN memberikan bantuan yang sesuai hari ini juga. Skuad PTPTN Prihatin akan membantu dengan segera. Bebanan ditanggung oleh anak-anak ini adalah tanggungjawab kita bersama.

“Saya telah meluluskan peruntukan kewangan segera yang akan disampaikan pegawai PTPTN secepat mungkin. Kita akan periksa dahulu bentuk sumbangan sesuai.

“Saya rasa demi masa depan mereka, adalah baik jika kita berikan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) untuk anak-anak ini,” katanya menerusi kenyataan.

Wan Saiful berkata bantuan yang disalurkan itu tidak akan dapat menggantikan ibu bapa yang telah pergi namun ia sedikit pembelaan akan dapat membantu meringankan bebanan ditanggung mereka.

“Semoga anak-anak ini akan dapat menempuh ujian getir yang mereka lalui dengan sabar,” katanya.

Terdahulu, anak sulung keluarga itu, Nazurah Nabilah Yajeed, 19, dilaporkan berkata arwah ibu bapanya yang mencari rezeki berniaga pisang goreng, kembali ke rahmatullah akibat Covid-19 dalam jangka masa tiga hari.

Sebahagian besar adiknya masih bersekolah, kecuali adik bongsunya yang berusia empat tahun.

Nazurah Nabilah pula adalah pelajar di Kolej Politeknik Mersing di Johor.

Bapanya meninggal pada 16 Julai lalu, disusuli ibunya pula pada 18 Julai akibat Covid-19. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here