Speaker Dewan Rakyat perlu letak jawatan jika gagal junjung titah Agong – PH

0
3

MAJLIS Presiden Pakatan Harapan (PH) menyarankan Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk meletakkan jawatan sekiranya gagal menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong berhubung isu perjalanan Sidang Khas Parlimen.

Majlis itu dalam kenyataan hari ini berkata, Datuk Azhar Azizan perlu memutuskan sama ada beliau menjunjung titah Agong atau sekadar mengikut arahan Kabinet.

Menurut kenyataan itu, bagi mencapai maksud penuh titah Agong, Yang dipertua Dewan Rakyat mesti melakukan tiga perkara termasuk tidak meletakkan had 80 orang dan membenarkan semua Ahli Parlimen hadir di dalam Dewan Rakyat  ketika mesyuarat berjalan.

Katanya, tindakan itu bagi memastikan semua Ahli Parlimen yang ingin berbahas ketika sidang berlangsung boleh berbuat demikian.

“Selain membenarkan perbahasan penuh berasaskan usul menteri untuk semua isu-isu yang telah dinyatakan dalam titah Agong termasuk Pelan Pemulihan Negara, Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinan Darurat, pelaksanaan program vaksinasi, langkah-langkah mencegah Covid-19 serta usaha memulihkan ekonomi serta menjamin kelangsungan hidup rakyat.

“Kami tidak boleh terima sidang Parlimen yang dipanggil hanya untuk mendengar ceramah atau kuliah Menteri tanpa perbahasan penuh,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, Majlis Presiden PH juga menyatakan rasa terkejut membaca kenyataan media Yang di-Pertua Dewan Rakyat yang mendakwa pihaknya cuba melagakan beliau dengan Istana Negara.

“Ini bukanlah satu kenyataan yang patut dikeluarkan seorang Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan menggunakan bahasa yang tidak mengikut peraturan Parlimen.

“Isu pokok ialah keputusan-keputusan Kerajaan Perikatan Nasional berkenaan perjalanan sidang khas Parlimen tidak mencapai maksud penuh titah pandangan yang dizahir KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah,” katanya.

Menurut kenyataan itu, sekiranya sidang khas berlangsung tanpa perbahasan ke atas sebarang usul ia dilihat hanya setakat mendengar kuliah menteri, dengan kehadiran jumlah ahli Dewan Rakyat yang tidak lengkap dan tanpa sebarang undian terutama berkait Proklamasi Darurat.

“Maka jika Yang di-Pertua Dewan Rakyat tetap melaksanakan keputusan-keputusan kerajaan itu, pada ketika beliau menyedari ianya tidak mencapai maksud sebenar Duli-Duli Tuanku, maka Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah turut sama mengingkari titah tersebut.

“PH menegaskan titah pandangan Seri Paduka Baginda mesti dijunjung oleh kerajaan dan juga Yang di-Pertua Dewan Rakyat,” katanya.

Majlis Presiden PH berkata, Yang di-Pertua Dewan Rakyat tidak perlu bimbang kerana PH tidak memasukkan sebarang usul undi tidak percaya ke atas Perdana Menteri.

“Kami hanya mahu menumpukan perhatian sidang khas ini kepada perkara-perkara penting pandemik Covid-19 dan kesusahan rakyat dalam krisis ekonomi masa kini,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan Majlis Presiden PH yang dianggotai Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here