Pasukan HM4P pulang ke Malaysia esok

0
2

PASUKAN Misi Bantuan Kemanusiaan Untuk Palestin (HM4P) oleh Biro Kebajikan Umno Malaysia (BKUM) diketuai Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dijadualkan pulang ke tanahair esok.

Ia selaras saranan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam supaya anggota HM4P menangguhkan misi dan pulang dahulu ke Malaysia berikutan keadaan di Gaza masih tidak menentu.

Abdul Azeez berkata misi tersebut yang bermula sebulan lalu telah melaksanakan 65 peratus daripada keseluruhan misi yang dirancang dengan kejayaan terbesar menyalurkan bantuan kepada Masjid Al-Aqsa.

Katanya, misi seterusnya iaitu memasuki Gaza dan menyampaikan sendiri bantuan kepada masyarakat Palestin di wilayah bergolak itu terpaksa ditangguhkan berikutan keadaan keselamatan.

Beliau berkata, nasihat Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden Umno adalah selari dengan syor disuarakan pihak kedutaan di Mesir.

“Tujuan dalam misi ini telah berjaya 65 peratus, antaranya membaikpulih dan memenuhi keperluan berkaitan pengurusan Masjid Al-Aqsa selepas berlaku kerosakan akibat serangan zionis Israel.

“Mereka telah hantar video dari Masjid Al-Aqsa yang sudah kedengaran laungan azan, bilik air dan tempat wuduk telah dibaiki dan klinik yang diruntuhkan juga dibina semula,” katanya seperti dilaporkan Umno Online.

Sehubungan itu, Abdul Azeez berkata anggota misi akan kembali ke tanahair sementara menanti peluang memasuki Gaza dengan semua yang terlibat sentiasa mematuhi peraturan serta prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Pihak Kedutaan akan terus berbincang serta akan berikan nota diplomatik untuk makluman tarikhnya. Kita kekalkan 17 nama dan mereka akan hantar melalui emel ke pejabat Timbalan Perdana Menteri.

“Maka apabila dapat nota diplomatik ini mereka akan beri masa dalam tiga atau empat hari untuk berangkat terus ke Gaza tanpa perlu tinggal di Kaherah,” katanya lagi.- Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here