MENTERI Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz menyatakan sekali lagi bahawa Pelan Pemulihan Negara (PPN) mengambil pendekatan “whole of government and society.
Beliau yang juga Menteri Penyelaras PPN berkata, pendekatan itu untuk semua pihak khususnya kerajaan dan rakyat bagi sama-sama memainkan penting dalam menjayakan pelan tersebut.
Kata Tengku Zafrul, sejak beberapa bulan ini, negara menyaksikan perang menentang pandemik Covid-19 yang lebih mencabar dengan kehadiran varian Delta di dalam komuniti.
“Susulan itu, kerajaan melaksanakan langkah yang ditambah baik untuk memastikan Malaysia dapat menangani cabaran ini.
“Kita telah mempertingkatkan vaksinasi, memperkenalkan bantuan langsung tambahan buat rakyat dan perniagaan, serta melancarkan PPN sebagai strategi keluar daripada kemelut pandemik Covid-19,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Sehubungan itu, beliau berkata, kegagalan negara dalam menentang Covid-19 bukan atas pilihan kerajaan dan juga rakyat namun jika semua pihak bekerjasama, maka kemenangan akan berpihak kepada Malaysia.
“Kegagalan bukanlah pilihan kita, tidak dulu dan pastinya tidak kini. Teguh kita maka menanglah rakyat Malaysia bersama. InshaAllah,” katanya. – Malaysiapost

