Saya bukan nak bertanding di Ketereh, kata Zaid kepada Radzi Jidin

0
2

BEKAS Menteri Undang-Undang, Datuk Zaid Ibrahim mendakwa diserang ‘cybertrooper’ susulan tindakannya mengkritik Menteri Pelajaran, Senator Datuk Dr Radzi Jidin berhubung beberapa isu, minggu lalu.

Zaid berkata serangan peribadi terhadapnya tidak menguntungkan Radzi kerana beliau bukan mahu bertanding di Ketereh atau Putrajaya pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Saya hanya mengemukakan pertanyaan orang ramai. Jalan paling baik ialah memberi penjelasan. Kita tidak mahu menteri yang ada pangkat tinggi dalam partinya, tetapi tidak mampu menjalankan tugas dengan baik,” katanya hari ini.

Zaid berkata beliau menegur berkaitan pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah rendah (UPSR) serta vaksin guru dan pekerja sekolah, selain 150,000 laptop yang dijanjikan setahun lalu tetapi belum diedar kepada keluarga memerlukan.

“Mengapa guru-guru tidak dapat vaksin sepenuhnya? Bukankah guru dan kakitangan sekolah perlu divaksin sepenuhnya secepat mungkin supaya murid dapat balik ke sekolah?

“Mengapa janji buka sekolah berperingkat-peringkat? Kerana nak menutup kelemahan perancangan agaknya. Soal pembelajaran melalui internet telah menyusahkan anak-anak dan ibu bapa, tetapi menteri belum ada penyelesaiannya. Caranya ialah membuka sekolah supaya pelajar dapat bersemuka dengan guru.

“Mengenai UPSR, memang mudah menteri buat keputusan mansuhkan, tetapi apa gantinya? Siapa yang akan membuat keputusan di mana dan kelas mana anak-anak kita akan ditempatkan di sekolah menengah nanti,” katanya.

Beliau berkata di negara lain, mereka tetap ada ujian atau “checkpoint” untuk pastikan pelajar dapat dimasukkan di kelas yang sesuai dan secocok dengan kebolehan mereka.

“Di Malaysia hanya Menteri Pendidikan Superman yang tahu cara penyelesaiannya. Orang lain dan pegawai-pegawai kanan lain tidak perlu tahu.

“Bulan Julai akan berakhir dan tidak lama lagi Menteri Superman akan berjaya melantik hampir 19,000 guru dan ahli akademik baru dari projek luar biasa, di mana jumlah ini direkrut sebagai pendidik dan guru tanpa mereka mempunyai apa-apa pengalaman atau pengetahuan dalam hal pendidikan,” katanya.

Zaid juga meminta Radzi memberitahu orang ramai apa rahsia peningkatan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang diumumkan terbaik sejak lima tahun lalu.

Ini kerana kata, ia dicapai ketika penularan wabak Covid-19 dan pelajar belajar melalui internet, iaitu kaedah pembelajaran yang paling sukar bagi kebanyakan pelajar dan guru sepanjang hidup mereka. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here