KEPERITAN seorang wanita warga emas mengharungi perjalanan sejauh 140 Kilometer untuk mendapatkan suntikan vaksin telah mencuri perhatian netizen di media sosial kerana Pusat Pemberian Vaksin (PPV) itu tidak beroperasi hari ini.
Perasaan kecewa itu diluahkan oleh anaknya, Syahir Samsuri di Twitter yang memaklumkan perkara itu bukan sahaja menyusahkan, tetapi juga tidak berbaloi, membuang masa dan sia-sia.
Syahir menjelaskan, ibunya yang berusia 66 tahun dijadualkan untuk menerima suntikan vaksin di PPV Rompin hari ini.
Katanya, ibunya telah menerima notifikasi janji temu suntikan vaksin bertarikh 20 Julai 2021 pada pukul 11.30 pagi.
“Abang aku sudah telefon hendak sahkan tarikh. Tetapi pihak berkenaan suruh hadir mengikut tarikh yang ditetapkan dalam MySejahtera. Sudah sampai boleh tutup pula. Tahu tak berapa jauh rumah emak aku ke Rompin? 140km!
“Emak aku dapat mesej tunda vaksin hari esok. Sungguh menyusahkan. Tolong latih operator di meja bantuan yang ikut suka sahaja suruh datang walhal PPV tutup. Hendak telefon susah, sudah dapat telefon menyusahkan orang,” ciapnya, hari ini.
Hantaran itu diulang kicau lebih 1,200 kali dengan rata-rata pengguna media sosial bersimpati dengan nasib yang menimpa ibu lelaki berkenaan.
“140km? Pergi balik sudah 280km. Semput,” komen @mhmdfyzle.
“Allah nak uji tuan. Hendak bagi pahala lebih pada hari raya yang mulia ini. Bersabarlah ya,” ujar pemilik akaun Twitter bernama Unpopular Opinions Malaysia.
Bagaimanapun terdapat juga netizen meminta Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyiasat isu berkenaan.
“@Khairykj mohon semak bagaimana boleh jadi begini. Perkara yang amat menyusahkan rakyat. Mohon bertanggungjawab,” ulas @HaikalFerraro. – Malaysiapost

