98 kenderaan cuba ke Pantai Timur diarah berpatah balik

0
2
jalan raya lebuh raya

SEBANYAK 98 kenderaan diarah berpatah balik kerana dipercayai cuba masuk ke Pantai Timur tanpa sebab munasabah melalui tiga sekatan jalan raya (SJR) di sempadan daerah Bentong di Pahang dari 15 Julai sehingga hari ini.

Ketiga-tiga SJR iaitu selepas Plaza Tol Bentong menghala ke Kuantan, di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Tinggi dan Jalan Simpang Durian, Manchis itu telah didirikan di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Bentong.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, berkata mereka diarah berpatah balik kerana tidak mempunyai dokumen yang sah daripada pihak polis.

“Selain tiada dokumen rentas negeri, ada yang menggunakan surat MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) bagi sebab yang tidak munasabah dan lain-lain lagi.

“Lima kompaun telah dikeluarkan di bawah pentadbiran IPD Bentong atas pelbagai kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai untuk terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“IPD Bentong tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan kompaun ke atas individu yang melanggar peraturan di bawah Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan penyakit Berjangkit (PPPDPPB) 2021,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here