Pengorbanan patuhi SOP adalah jihad besar di sisi Allah – PM

0
2

DALAM tempoh beberapa bulan lagi negara akan dapat mencapai matlamat imuniti kelompok berdasarkan kelancaran pemberian vaksin Covid-19 yang sedang berjalan di seluruh negara ketika ini, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, setakat ini pusat pemberian vaksin (PPV) secara konsisten mencapai jumlah lebih 400,000 dos sehari, yang meletakkan negara di landasan yang betul untuk mencapai sasaran imuniti kelompok menjelang akhir tahun ini.

Bagaimanapun, katanya, beliau harap rakyat mengekalkan disiplin dan kepatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Ketika ini kita masih tidak diizinkan melakukan aktiviti merentas negeri dan saling menziarahi.

“Saya merayu agar kita semua bersabarlah dalam mematuhi SOP, kerana pengorbanan saudara dan saudari merupakan jihad yang besar di sisi Allah SWT dalam ikhtiar untuk menyelamatkan nyawa kita semua,” katanya dalam perutusan khas sempena Hari Raya Aidiladha, malam ini.

Dalam perutusan itu juga, Perdana Menteri memaklumkan pelaksanaan ibadah korban kali ini mungkin sedikit berbeza dengan kaedah sebelumnya tertakluk kepada pematuhan garis panduan yang ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

Muhyiddin berkata, panduan dan SOP yang dikeluarkan pihak berkuasa perlu dipatuhi, ia adalah semata-mata untuk memenuhi tuntutan syarak dalam melindungi nyawa rakyat daripada bahaya Covid-19.

“Saya doakan agar dalam keadaan kita masih diuji wabak Covid-19 ini, kita akan dapat melaksanakan ibadah korban dengan penuh penghayatan dan keinsafan mudah-mudahan Allah SWT menerima segala amal, pengorbanan dan kebajikan kita,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here