Najib saran vaksin remaja 12 tahun ke atas, luluskan dos ketiga

0
2
Petugas menyuntik vaksin AstraZaneca kepada seorang penerima vaksin di PWTC.

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mencadangkan kerajaan segera memberi vaksinasi kepada remaja 12 tahun hingga 18 tahun seperti mana yang dilakukan negara lain.

Selain itu, Ahli Parlimen Pekan itu juga menyarankan kerajaan meluluskan mereka yang sudah selesai divaksin untuk mengambil dos ketiga atau ‘booster shot’.

Katanya, kedua-dua cadangan itu dikemukakan beliau susulan kebimbangan sekiranya kadar vaksinasi yang tinggi gagal untuk menurunkan kes baharu dan kematian akibat Covid-19.

“Apabila negara membuat dasar dan perancangan, kita perlu adanya backup plan atau langkah-langkah untuk mengurangkan risiko pelan kita tidak berjaya.

“Apa akan terjadi jika kadar vaksinasi yang tinggi tidak menurunkan kes baharu dan kematian baharu Covid memandangkan kerajaan PN hanya bergantung pada vaksin ketika ini?,” katanya menerusi Facebook.

Dalam pada itu, Najib mengambil contoh kadar vaksinasi di Chile yang dilaporkan sangat tinggi berbanding Malaysia namun kes baharu dan kematian baharu Covid di negara itu tetap tinggi.

“Vaksin bukan ubat. Vaksin cuma melatih badan kita bagaimana untuk melawan virus Covid.

“Vaksin berlainan mengajar badan kita untuk melawan Covid dengan cara lain,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, kini beberapa negara sudah mula menggalakan dan menawar ‘booster shot’ bagi meningkatkan kadar keberkesanan vaksin terutamanya bagi varian-varian baharu.

“Kita jangan jadi antara negara paling lewat untuk luluskan dan mulakan kedua-dua inisiatif ini.

“Kita beri keutamaan untuk memastikan kedua-dua cadangan ini adalah selamat dan sekiranya selamat, kita luluskan dan laksanakan serta-merta,” katanya.

Najib berkata, sekiranya kes baharu negara tetap tinggi setelah negara beralih ke Fasa 3 dan kebanyakan sektor sudah dibuka semula, pelaksanaan ‘lockdown’ yang ketat perlu dilakukan.

“Kita perlu melaksanakan lockdown yang sangat ketat bagi tempoh yang singkat sebanyak 7 hari atau 14 hari bagi memutuskan trend kenaikan Covid.

“Kita ambil pengajaran dari negara Chile dan kesilapan-kesilapan Malaysia dahulu. Jika dibuat lockdown kita mesti ketat dan singkat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here