MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri membeli 10 bungkus bola golf dari penjual terpakai, Jaapar Leman, 66, sebagai tanda sokongan kepadanya mencari rezeki demi menyara kehidupan bersama isteri yang kurang upaya (OKU).
Dr Zulkifli menerusi perkongsian di Facebook berkata, beliau mengetahui kisah Jaafar apabila dimaklumkan mengenainya selepas program majlis agihan bantuan di Melaka tamat.
Katanya, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) aktiviti sukan seperti permainan golf tidak dibenarkan begitu juga kelab golf tidak beroperasi, namun Jaafar tetap menjualnya kerana ia punca pendapatan untuk meneruskan kehidupan.
“Semalam dalam perjalanan pulang daripada agihan bantuan di sekitar Melaka bersama Yayasan Waqaf Malaysia, saya dimaklumkan tular di media sosial gambar seorang lelaki yang menjual bola golf terpakai berdekatan Tiara Melaka Golf & Country Club.
“Kita sedia maklum bahawa permainan golf masih tidak dibenarkan pada masa ini. Namun bagi En Jaafar, mungkin ini satu-satunya mata pencarian untuk menyara kehidupannya jua isteri beliau yang merupakan OKU. Ke mana-mana beliau pergi dengan motosikalnya, isteri sentiasa dibawa bersama,” katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata, bola golf yang dijual Jaafar itu berharga RM20 bagi 10 biji sebungkus.
Katanya, beliau tidak pandai bermain golf tapi pembelian ini untuk menyokong usahanya.
“Bola golf ini dikutip sendiri dan sekiranya jatuh ke dalam tasik berdekatan, beliau akan mendapatkan bantuan pihak yang lain untuk menyelam dan mendapatkan bola golf tersebut. Ia dijual dengan harga RM20 bagi 10 biji bola golf.
“Saya tidak pandai main golf, tapi sebagai menyokong usaha beliau untuk mencari rezeki, kami beli 10 bungkus bola golf. Sebelum dan selepas saya datang, nampak ramai yang singgah untuk beli bola golf daripada beliau.
“Moga Allah SWT luaskan rezeki beliau. Moga Allah SWT pulihkan Malaysia daripada wabak Covid-19. Ini kisah pengorbanan seorang suami, seorang ketua keluarga,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial, kisah warga emas itu bersama isteri menyara kehidupan ketika PKP dengan menjual bola golf di bahu jalan berhampiran Tiara Golf and Country Club.
Katanya, sepanjang 25 tahun dia menjual bola golf terpakai ini, pandemik Covid-19 ini adalah waktu yang paling sukar.
Menurutnya, walaupun tahu dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, semua aktiviti sukan termasuk golf tidak dibenarkan, setiap hari dia tetap ‘setia’ menjual bola golf dengan ditemani isterinya Arniza Mokhtar, 46, yang juga orang kurang upaya (OKU) kerana tiada pilihan.
Katanya, bulan lalu dia hanya dapat menjual sebungkus sahaja bola golf dengan harga RM30, namun ia sudah memadai buatnya untuk menyara hidup. – Malaysiapost

