PAHLAWAN negara yang juga bekas ketua Pasukan Rahsia Cawangan Khas (Pasukan E3F) Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertanggungjawab membanteras pemberontakan pengganas komunis di negara ini, Datuk Dr Leong Chee Woh meninggal dunia, semalam.
Mendiang yang berusia 92 tahun menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Seri Kembangan, Selangor, petang semalam akibat strok.
Berita kematian mendiang dimaklumkan melalui satu hantaran di Facebook rasmi PDRM.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan seluruh warga PDRM menzahirkan ucapan takziah buat keluarga mendiang Senior Asisten Komisioner 1 (SAC 1) (Bersara), Datuk Dr Leong Chee Woh.
Mendiang merupakan penerima anugerah Darjah Kebesaran dan Bintang Kehormat Panglima Gagah Berani (P.G.B.) yang dikurniakan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke XV, Sultan Muhammad V pada 9 September 2017.
Anak jati kelahiran Taiping, Perak, mendiang Datuk Dr. Leong Chee Woh memasuki perkhidmatan PDRM pada 1 Disember 1950 dan jawatan terakhir beliau sebagai Timbalan Pengarah (Operasi), Cawangan Khas Bukit Aman.
Datuk Dr. Leong telah dilantik mengetuai Pasukan Rahsia Cawangan Khas PDRM iaitu Pasukan E3F atau lebih dikenali dengan nama Pasukan F dalam misi membanteras pengganas komunis ketika kebangkitan kedua Parti Komunis Malaya (PKM) pada tahun 1968-1989 di Semenanjung Malaysia.
Sejarah mencatatkan Pasukan F telah berjaya membunuh seramai 48 orang pengganas PKM dan menahan seramai 171 orang bersama 1,432 orang tali barut.
Kejayaan Pasukan F melumpuhkan pemberontakkan pengganas PKM di Tanah Malaya turut menjadi faktor utama termeterainya Perjanjian Hatyai 1989 sehingga membawa kepada pembubaran PKM. – Malaysiapost

