AHLI Parlimen boleh berbahas dan berucap pada Sidang Khas Dewan Rakyat pada 26 Julai ini, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.
Menurut Ahli Parlimen Ketereh itu, tanggapan banyak pihak mengatakan sidang berkenaan tiada perbahasan seperti dilaporkan media adalah tidak benar dan mengelirukan.
Katanya, sidang khas yang dibuat mengikut Peraturan 11(3) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat bukan kali pertama diadakan.
“Dah banyak kali diadakan termasuk masa isu MH17, isu Palestin dan lain-lain. Ia boleh dibahas dan MP (Ahli Parlimen) dibenar berucap… elok perbetulkan fakta.
“Jenis dan kaedah bersidang semuanya tertera dalam Peraturan,” katanya dalam satu ciapan di Twitter hari ini.
Annuar dalam ciapan lain juga meminta agar pembetulan fakta dibuat berhubung kebenaran bagi semua Ahli Parlimen hadir pada persidangan itu.
“Tolong betulkan fakta… semua 220 boleh hadir, 80 orang dalam dewan pada satu satu masa, bergilir-gilir, MP juga boleh ikuti sidang secara live dari banyak ruang lain seperti diamalkan pada sidang yang lalu,” katanya.
Pada 15 Julai lalu semua Ahli Dewan Rakyat menerima notis pemberitahuan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat akan diadakan pada 26 Julai ini
Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun berkata beliau dimaklumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa bagi faedah orang ramai adalah mustahak untuk diadakan satu Mesyuarat Khas sebelum tarikh mesyuarat akan datang.
Katanya, ia diadakan mengikut Peraturan 11(3) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
Beliau turut memaklumkan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-14 akan bermula 6 hingga 30 September selama 15 hari manakala Mesyuarat Kedua mulai 25 Oktober hingga 16 Disember iaitu 32 hari. – Malaysiapost

