Md Rayhan mahu belajar undang-undang, pejuangkan hak pekerja asing

0
3

WARGA Bangladesh, Md Rayhan Kabir yang diusir dari Malaysia mahu mempelajari undang-undang penghijrahan dan memperjuangkan hak pekerja asing.

Md Rayhan, 25, kini berada di kampung halamannya berkata hidupnya berubah secara drastik sejak sebulan lalu, tetapi menganggapnya sebagai permulaan baharu.

“Saya memiliki semuanya, tempat tinggal yang baik, sebuah kereta, pekerjaan baik dan kestabilan kewangan. Tetapi, semuanya berakhir selepas saya muncul dalam dokumentari itu.

“Saya tidak melakukan jenayah. Apa yang saya mahu ialah membuatkan suara mereka (pekerja asing) didengari dan memberitahu dunia apa yang mereka lalui itu tidak berperikemanusiaan,” katanya kepada Dhaka Tribune.

Katanya lagi, pihak berkuasa Malaysia tidak boleh mengongkong mereka yang tidak mempunyai dokumen sah.

Md Rayhan ditahan pada 24 Julai lalu susulan operasi mengesannya selama dua minggu, selepas Jabatan Imigresen mengeluarkan notis dikehendaki terhadapnya.

Dia yang tiba di Bangladesh pada 22 Ogos lalu, tidak mahu memikirkan perkara lalu, sebaliknya memutuskan untuk melanjutkan pengajian mengenai undang-undang penghijrahan dan memperjuangkan hak pekerja migran.

Rayhan turut memberitahu Dhaka Tribune, beliau tidak dihubungi sesiapa pun dari Al Jazeera selepas penahanannya.

Katanya, saluran berita berpangkalan di Qatar itu pernah bertanya jika beliau tidak mahu mendedahkan namanya dan menutup mukanya dalam dokumentari itu, namun tidak mahu berbuat demikian kerana tidak pernah terlintas tindakannya itu melanggar sebarang undang-undang.

“Bersuara untuk komuniti tidak asing bagi saya kerana sudah melakukannya berkali-kali sebelum muncul dalam dokumentari itu. Saya tidak pernah terfikir memberitahu kebenaran akan menyebabkan saya menghadapi banyak masalah,” katanya.

Ditanya mengenai layanan dalam penjara, beliau menjawab tidak mahu bercakap mengenainya kerana bimbang apa yang dikatakannya mungkin membahayakan pekerja Bangladesh di Malaysia.

Beliau muncul dalam dokumentari Al Jazeera bertajuk “Locked Up in Malaysia’s Lockdown” yang disiarkan 3 Julai lalu, mendakwa pihak berkuasa memberi layanan buruk kepada pekerja asing semasa pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bagi membendung penularan Covid-19.

Susulan itu, pihak berkuasa turut menyiasat Al Jazeera mengikut Akta Hasutan 1948, Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana menyiarkan berita fitnah serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyalahgunakan rangkaian perkhidmatan secara tidak wajar. – Malaysiapost