SERAMAI 30 doktor dan 100 ahli paramedik sudah dilantik oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) secara kontrak bagi membolehkan tambahan hospital medan dibuka sekiranya keadaan memerlukan.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata setakat ini ATM membuka tujuh hospital medan dalam membantu Kementerian Kesihatan (KKM) menangani peningkatan pesakit Covid-19.
Menurutnya, ATM juga sentiasa bersedia membuka tambahan hospital medan iaitu empat hospital lagi dalam tempoh singkat jika diperlukan.
“Selepas mendapat peruntukan daripada kerajaan, ATM mendapatkan doktor secara kontrak seramai 30 orang dan 100 paramedik untuk kita bersiap sedia jika diperlukan.
“Bagaimanapun hospital medan ini bergantung kepada permohonan KKM, jadi kalau KKM merasakan perlu buka, kita akan membukanya,” katanya selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Jempol hari ini.
Menurutnya, hospital medan terbaharu dibuka adalah di Labuan serta di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan untuk membantu kes-kes daripada Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.
“Ini bermakna hospital medan ini bersedia pada bila-bila masa mengikut permohonan KKM, namun setakat ini belum ada permohonan tambahan.
“Ia boleh dibuka dalam tempoh singkat iaitu dalam masa tiga hingga empat hari sahaja,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata ATM sedang membantu dari segi pengurusan jenazah Covid-19.
“Seperti saya maklumkan sebelum ini kes naik mendadak apabila kita laksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dengan saringan bersasar secara besar-besaran.
“Di Selangor 50,000 hingga 60,000 saringan dilaksanakan setiap hari, jadi ia akan tinggi walaupun hanya 10 peratus daripadanya positif,” katanya.
Ismail Sabri berkata, kerajaan juga menjangka dalam masa tiga hingga empat hari lagi akan berlaku peningkatan kes di Lembah Klang kerana masih ada keputusan ujian saringan kerana PKPD baru ditamatkan di 34 Mukim di Selangor, semalam.
“Sekarang kita laksanakan PKPD di Seremban pula dan akan buat saringan bersasar besar-besaran dan saya percaya keputusannya nanti akan meningkatkan kes Covid-19 dalam masa dua minggu ini,” katanya. – Malaysiapost

