Covid-19 mungkin ikut anda balik kampung – TPM

0
2
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melawat PPV pandu lalu di Kompleks Pentadbiran Daerah Jempol hari ini. Turut hadir ialah Ahli Parlimen Jempol, Datuk Mohd Salim Mohd Sharif.

PIHAK tidak bertanggungjawab mungkin boleh menipu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan pelbagai cara untuk balik kampung bagi menyambut Aidiladha, namun tidak wabak Covid-19.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata tindakan golongan yang melanggar larangan rentas daerah atau negeri itu kelak hanya akan mengakibatkan peningkatan kes dan kluster Covid-19.

Menurutnya, ia terbukti dengan apa yang berlaku pada sambutan Aidilfitri lalu membabitkan peningkatan kluster rentas negeri dengan ramai keluarga disahkan positif wabak berkenaan.

“Untuk balik kampung ada yang sanggup bawa lori kerja dan akhirnya berlakulah kebanjiran balik kampung dengan pelbagai alasan termasuk surat kebenaran merentas negeri untuk pekerja.

“Selepas raya kita lihat kes naik mendadak kerana kluster rentas negeri begitu tinggi, kebanyakannya melibatkan ahli keluarga dapat jangkitan Covid-19.

“Ambil iktibar dengan kes yang berlaku pada Aidilfitri. Mungkin kita boleh menipu polis untuk balik kampung lalu ikut jalan kelapa sawit dan sebagainya, tetapi tidak boleh tipu Covid-19.

“Ia mungkin menanti di kampung atau kita membawanya hingga menjangkiti ahli keluarga hingga mengakibatkan kematian,” katanya dalam sidang media selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Jempol, hari ini.

Beliau mengulas larangan pergerakan merentas negeri menggunakan kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bermula hari ini hingga 21 Julai ini.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan, meminta orang ramai bersabar dahulu sehingga imuniti kelompok dicapai pada Oktober atau November ini dan ketika itu rakyat akan dibenarkan balik kampung tanpa sebarang isu lagi.

“Kita dah tunggu selama setahun lebih, tunggulah dalam masa empat hingga lima bulan lagi dan mungkin kita boleh bergerak bebas nanti.

“Lagipun Perdana Menteri telah mengumumkan siapa yang mendapat dua dos vaksin mungkin secara berperingkat akan dibenarkan bergerak balik kampung,” katanya.

Ismail Sabri berkata, perkara itu sudah dibentangkan oleh Jawatankuasa Teknikal dan akan dibincangkan secara terperinci minggu depan dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk meluluskannya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here