RCI Tabung Haji: Siasatan tak libatkan operasi ketika pentadbiran PN

0
2
Bangunan Tabung Haji

SIASATAN Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) tidak melibatkan operasi agensi itu ketika di bawah pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Perkara itu disahkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary kerana katanya kerajaan PN masih baharu dan tidak mahu RCI membantutkan pelan pemulihan dan penambahbaikan TH, lapor Berita Harian hari ini.

“Kita (PN) belum melaksanakan berdasarkan pelan yang kita sediakan dan tidak mahu dengan adanya RCI, akan membantutkan usaha untuk menambah baik TH serta meningkatkan keyakinan terhadap pendeposit.

“Malah setakat ini tidak timbul sebarang isu mencurigakan masyarakat khususnya kira-kira 11 juta pendeposit,” katanya selepas menyampaikan bakul makanan di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Panchor di Kota Bharu hari ini.

Beliau mengulas pengumuman kerajaan menubuhkan RCI TH mengikut Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) bagi menyiasat isu-isu berbangkit mengenai TH, hasil pengauditan perunding-perunding seperti PricewaterhouseCoopers, Ernst & Young dan Roland Berger dari 2014 hingga 2020.

Rabu lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mengumumkan penubuhan RCI itu berkata terma RCI tertumpu kepada hasil penemuan perunding-perunding ke atas isu berbangkit TH dari 2014 hingga 2020.

Tempoh enam tahun itu adalah membabitkan operasi TH di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun ia tidak termasuk Pelan Pemulihan dan Penstrukturan TH yang sedang dilaksanakan.

Sementara itu, Ahmad Marzuk berkata masih terlalu awal untuk dibincangkan terma RCI dan perkara itu diserahkan kepada jawatankuasa yang terbabit.

Beliau memberi jaminan RCI tersebut akan dilaksanakan secara telus dan jujur. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here