Perbaiki demokrasi, bukan merosakkannya

0
2

AHLI Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengingatkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan supaya memperbaiki institusi demokrasi negara.

Menurutnya, kini masanya Ahli Parlimen Kota Bharu itu yang juga rakannya di Universiti Malaya dahulu untuk memperjuangkan prinsip demokrasi yang menjadi idealisme mereka sejak dahulu lagi.

“Salam sahabat. Masih ingat, ketika itu kita sama-sama mendokong idealisme perjuangan mahasiswa. Antaranya prinsip demokrasi.

“Kita tentang ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) dan kita lantang menentang Akta Universiti yang drakonian dan mengongkong anak muda,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap ciapan Takiyuddin di Twitter yang menyentuh isu kibar bendera putih dan menyebut namanya serta Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Ahmad Shabery berkata, kini ISA telah dihapuskan dan Akta Universiti sudah banyak diperbaiki oleh kerajaan yang ditentang sebelum ini.

“Ketika ini, giliran saudara pula tunjukan yang lebih baik dari itu. Apakah tutup Parlimen itu hasil idealisme terdahulu? Apakah membukanya kembali secara melepas batuk di tangga, tanpa bahas dan tanpa usul suatu pembaikan?

“Institusi demokrasi lebih besar dari kita. Waktu berkesempatan kita perbaikinya bukan memandulkannya. Merosakannya, hanya merosakkan acuan generasi akan datang,” katanya.

Menurutnya, walaupun jalan yang mereka lalui kini sedikit berbeza, namun tetap bersahabat dan mendoakan agar semua diberi petunjuk-Nya.

Terdahulu, Takiyuddin dalam ciapannya teringat kenangan mereka ketika di kampus Lembah Pantai.

“Sahabat-sahabatku Puad dan Shabery, doaku tetap buat kalian..teringat didikan bersama kita di kampus Lembah Pantai@PMU, PMI, PBM..bendera putih diangkat hanya terhadap Tuhanmu, bukan kepada makhluk-Nya..seeru ‘ala barakatillah,” tulisnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here