Jangan ‘terkorban’ kerana sambutan raya Korban – KKM

0
2
Skuad jenazah Covid-19 Malaysia mengusung jenazah covid-19 di Tanah Perkuburan Batu 5 Jalan Ipoh.

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) menyeru masyarakat mengambil iktibar peningkatan kluster Covid-19 susulan aktiviti kunjung mengunjung dan rentas negeri ketika Aidilfitri lalu dan tidak melakukan kesilapan sama bagi sambutan Aidiladha pula.

Masyarakat juga diingatkan bahawa larangan rentas daerah serta negeri masih lagi berkuatkuasa, begitu juga larangan kunjung-mengunjung semasa perayaan.

“Jangan pula dalam keseronokan menyambut Hari Raya Korban menyebabkan kita sama-sama ‘terkorban’ dek kerana Covid-19,” menurut KKM dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Menurut KKM, bermula 1 Jun 2021, iaitu sejak permulaan pelaksanaan ‘total lockdown’ sehingga 16 Julai lalu, 267 kluster komuniti dengan 17,106 kes positif Covid-19 dilaporkan dengan kadar positiviti adalah 23.5 peratus.

Katanya, kes-kes berkenaan dikesan daripada sejumlah 72,755 individu yang disaring melalui ‘Active Case Detection’ (ACD) di lapangan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) secara berterusan.

“Sebanyak 105 kematian dilaporkan sehingga kini dan 42 kes sedang mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Kluster komuniti ini tercetus susulan sambutan majlis perayaan lalu (Aidilfitri dan Hari Gawai), aktiviti kunjung-mengunjung di kawasan kejiranan atau kampung, perjumpaan ahli keluarga dari rumah berlainan serta majlis pengebumian.

“Beberapa kluster komuniti ini turut melibatkan aktiviti rentas negeri bagi tujuan yang disebutkan di atas,” katanya.

Menurut KKM, dalam tempoh sama sebanyak 1,010 kes positif Covid-19 dilaporkan dalam 21 kluster berkenaan iaitu daripada 5,681 individu yang disaring dengan kadar positiviti 17.8 peratus.

“Kluster-kluster ini didapati melibatkan aktiviti rentas negeri bagi tujuan sambutan perayaan, mengunjungi ahli keluarga, menghadiri majlis pengebumian serta atas urusan kerja.

“Negeri-negeri yang melaporkan jumlah kluster rentas negeri tertinggi sejak 1 Jun lalu adalah Perak dengan lapan kluster, Terengganu lima kluster dan Kelantan tiga kluster,” katanya.

KKM turut mengucapkan terima kasih kepada semua penduduk Malaysia yang bersungguh-sungguh mematuhi prosedur operasi standard (SOP) digariskan dan terus kekal duduk di rumah.

“Bagaimanapun, terdapat segelintir individu atau pihak tidak bertanggungjawab serta mementingkan diri yang cuai dalam mematuhi SOP serta menyebabkan penularan kes atau kejadian kluster dalam komuniti.

“Bak kata pepatah, kerana nila setitik rosak susu sebelanga,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here