SESI persekolahan secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) diteruskan sehingga 31 Ogos 2021 dan PdP bersemuka dibuka secara berperingkat mulai 1 September.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu mengambil kira situasi semasa pandemik Covid-19 serta perbincangan bersama Kementerian Kesihatan (KKM).
“Ketetapan ini juga terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan institusi pendidikan berdaftar dengan KPM,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, KPM sentiasa bekerjasama dengan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) bagi memastikan kadar vaksinasi dalam kalangan guru, pentadbir dan kakitangan sokongan di sekolah dapat ditingkatkan.
“Sehingga semalam, seramai 253,366 iaitu 61.3 peratus orang guru dan pentadbir serta 10,876 atau 46.33 peratus orang kakitangan sokongan telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin,” katanya.
Maka, katanya, KPM membuat ketetapan bahawa sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk PdP bersemuka mulai 1 September ini.
“Namum begitu, KPM akan terus mengambil kira penilaian risiko oleh KKM dan MKN bagi melihat sekiranya terdapat keperluan untuk membuat perubahan terhadap tarikh tersebut.
“Sebarang perubahan akan dimaklumkan lebih awal. KPM akan memaklumkan perincian lanjut mengenai pembukaan sekolah bagi sesi PdP secara bersemuka selewat-lewat seminggu sebelum sekolah dibuka.
Sementara itu berdasarkan infografik dikongsi Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, sesi persekolahan secara bersemuka pada 1 September akan melibatkan pelajar kelas peperiksaan sahaja bagi negeri-negeri fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Bagi negeri-negeri yang beralih ke fasa 3 PPN, semua murid akan hadir ke sekolah secara bersemuka. – Malaysiapost

