KES Covid-19 yang serius mencatat penurunan ketara melalui pemberian vaksin dengan lebih 90 peratus kes positif baharu dilaporkan adalah dalam kategori satu dan dua, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Perdana Menteri berkata walaupun data menunjukkan perkembangan positif itu, beliau telah mengarahkan Kementerian Kesihatan (KKM) lebih bersedia menerima kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital dan memberi rawatan terbaik.
Menurutnya, ia memandangkan dunia sedang mencatatkan trend kenaikan kes Covid-19 dengan kemunculan varian-varian baharu yang lebih ganas.
“Data-data menunjukkan kes Covid-19 yang serius mencatat penurunan ketara dengan pemberian vaksin.
“Contohnya, dalam kalangan kumpulan warga emas (60 tahun ke atas), trend kemasukan ke Hospital Sungai Buloh bagi kes kategori 4 dan 5 mengalami penurunan melebihi 50 peratus dalam tempoh sebulan lalu,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.
Menurutnya, impak positif pemberian vaksin juga dapat dilihat membabitkan petugas KKM dengan hanya 1.26 peratus dalam kalangan petugas KKM dijangkiti Covid-19 selepas lengkap divaksinasi.
“Sebanyak 99.8 peratus daripada mereka pula hanya mengalami gejala ringan atau tidak bergejala dan tiada yang mengalami Covid-19 kategori 5.
“Satu lagi contoh ialah Labuan, iaitu tempat di mana varian Delta mula dikesan di negara kita dan peningkatan kadar vaksinasi berjaya mengurangkan kes kematian di Labuan,” katanya.
Sementara itu beliau berkata, kerajaan mempertingkatkan program vaksinasi terutama membabitkan penduduk di Kuala Lumpur dan Selangor.
“Semalam YB Khairy Jamaluddin (Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan) dan Datuk Seri Dr Adham Baba (Menteri Kesihatan) mengumumkan pelaksanaan ‘Operation Surge Capacity’ untuk KL dan Selangor.
“Semua 6.1 juta populasi dewasa di KL dan Selangor akan menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 menjelang 1 Ogos ini,” katanya.
Menurutnya, program itu melibatkan pemberian vaksin pada kadar 1.3 juta dos sehingga 25 Julai 2021 dan 1.3 juta dos lagi antara 26 Julai hingga 1 Ogos 2021.
“Sehingga kini, 3.5 juta populasi dewasa di Selangor dan KL telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
“Ini adalah tindakan segera kerajaan untuk menangani kenaikan kes-kes positif secara mendadak di Selangor dan KL,” katanya. – Malaysiapost

