DI SEBALIK kontroversi yang dicetuskan penyanyi rap Caprice, pendakwah, Ustaz Ebit Lew tetap tenang.
Menerusi hantaran terbaharu di Facebooknya hari ini, Ebit membantu warga emas berbangsa Cina dikenali Loh Ah Cheng yang terpaksa menjadikan kalbat atau kolong di taman permainan sebagai rumahnya selama enam bulan.
Ini kerana warga emas itu tidak mampu membayar sewa bilik kerana kehilangan pekerjaan akibat kemalangan, menyebabkan dia kini sukar untuk berjalan.
“Sedih sayu sangat rasa jumpa uncle Loh Ah Cheng. Lebih enam bulan duduk di sini. Kemalangan hilang kerja. Susah nak berjalan. Tak dapat bayar sewa bilik,” katanya.
Ebit berkata, pada mulanya warga emas itu menolak namun apabila dipujuk, beliau sudi menerima pertolongan.
Sehubungan itu, Ebit membelikan pakaian serta tongkat baru termasuk menyewakan sebuah rumah dengan bayaran bulanan RM700 untuk warga emas itu dan adiknya demi keselesaan dan keselamatan mereka.
“Masa berjalan uncle cakap you ustaz saya tak kenal tolong saya. Saya malu dengan kamu. Saya kata jom kita beli baju dan barang lain. Dia menolak dengan baik. Saya kata ini hari bagi saya peluang buat baik.
“Uncle setuju. Bila beli baju dan seluar uncle bagitau tak tahu la hari ini hari apa, macam hari raya. Selepas itu saya belikan tongkat baru supaya uncle boleh berjalan. Saya bawa gunting rambut. Terus hensem. Saya pun gunting sekali. Tukang gunting pun tak nak ambil duit.
“Kami terus ke rumah baru uncle. Saya akan bayar sewa RM700 sebulan. Ada dua bilik. Selesa. Belikan katil dan tilam serta barang dapur semua. Saya ada tugaskan untuk kebersihan dan makanan uncle juga,” katanya.
Ebit dalam masa yang sama meluahkan rasa syukur dapat menghulurkan bantuan kepada individu dan pihak dalam kesusahan bagi meringankan beban mereka.
“Sebelum balik uncle tak berhenti cakap terima kasih, kalau saya tak jumpa ustaz harini saya tidur dalam hujan lagi.
“Saya syukur rezeki saya dapat buat baik pada uncle. Saya cuma nak Tuhan sayang saya,” katanya.
Menerusi perkongsian itu, ia menggambarkan Ebit tidak terkesan dengan kontroversi dicetuskan penyanyi rap, Caprice berhubung misi kemanusiaan dilaksanakan Ebit di Gaza, baru-baru ini. – Malaysiapost

