KETUA Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendesak agar Ahli Parlimen diberi peluang perbahasan semasa Sidang Dewan Rakyat yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Beliau membuat desakan itu kepada Yang di-Prtua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun melalui sepucuk surat bagi meminta ruang perbahasan dibuka seluas-luasnya.
“Saya telah mengutuskan sepucuk surat kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat bagi mendesak beliau sebagai ketua majlis untuk memastikan ruang perbahasan dibuka seluas-luasnya kepada Ahli-Ahli Parlimen sewaktu Sidang Dewan Rakyat akan datang.
“Perkara ini mustahak bagi membincangkan hal-hal mendesak tatkala negara berhadapan dengan keadaan yang sangat mencabar dan rumit saat ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau yang juga Presiden PKR dan Ahli Parlimen Port Dickson, berkata keberkesanan pelaksanaan program kerajaan dalam mendepani Covid-19 hanya dapat diketahui serta ditambah baik apabila Ahli-Ahli Parlimen diberi ruang menyuarakan cadangan dan pandangan semasa perbahasan.
“Harus diingat, peranan semak imbang Dewan Rakyat mestilah dimartabat bukan disekat.
“Ahli-ahli Parlimen tidak dibayar untuk hadir menggangguk dan mengiyakan semua perkara tanpa perbahasan yang tuntas dan terperinci,” tegasnya. – Malaysiapost

