PKPD di Selangor tamat kerana semua saringan telah dibuat

0
2

KEPUTUSAN tidak melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) 34 mukim di Selangor dibuat setelah semua saringan di kawasan yang terlibat dilaksanakan, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Timbalan Perdana Menteri berkata sehubungan itu KKM menasihatkan agar PKPD di semua mukim terbabit yang berakhir semalam, tidak lagi dilanjutkan.

Katanya, Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak akan membuat keputusan menamatkan PKPD di satu-satu kawasan tanpa nasihat KKM.

“PKPD tidak dilanjutkan sebab semua saringan dibuat. Saringan di bawah KKM. Apabila kita dinasihatkan semalam untuk buka, jadi kita buka atas nasihat KKM,” katanya seperti dilaporkan Malaysia Gazette hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya ada pihak tertentu mempertikaikan keputusan kerajaan berhubung keputusan tidak melanjutkan PKPD di 34 mukim di Selangor.

Ismail Sabri berkata, lazimnya saringan bersasar secara besar-besaran dilakukan di dalam kawasan dilaksanakan PKPD.

“Seperti saya terangkan bahawa dalam kawasan PKPD kita lakukan saringan bersasar secara besar-besaran.

“Kelmarin 54,000 saringan dibuat sebab itu lebih 6,000 kes direkod (di Selangor).

“Lebih kurang 12 hingga 13 peratus positif dan saya difahamkan apabila kita buka (PKPD), saringan itu mungkin sudah ditamatkan atau dikurangkan,” katanya.

Pada 3 Julai lalu, beliau mengumumkan PKPD bagi 34 mukim di Selangor sehingga 16 Julai.

Terdahulu Timbalan Perdana Menteri memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) menerusi Op Patuh di kilang Ayamas Food Corporation di Klang, hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here