Nurul Huda Abhar
PELAJAR yang tular menjawab peperiksaan atas pokok, Veveonah Mosibin meluahkan rasa sedih dan kecewa berhubung tuduhan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin terhadapnya.
Veveonah berkata dia berusaha keras untuk menghadapi beberapa peperiksaan secara dalam talian sejak beberapa bulan lepas.
Pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu tidak menyangka video mencari rangkaian internet di atas pokok di kampungnya di Pitas, Sabah demi menduduki peperiksaan tular kembali tetapi dengan cara berbeza.
“Saya tidak tahu bagaimana cara untuk berhadapan dengan komen buruk dan negatif di media sosial. Ia sangat menyakitkan.
“Saya maafkan semua kesalahan yang dilakukan orang lain kepada saya. Tetapi saya masih perlu membuat kenyataan benar berkaitan diri saya.
“Terima kasih kepada pihak yang memihak kepada saya dan menyokong saya. (Keluarga, rakan, pensyarah dan peminat saya),” katanya dalam satu hantaran di Facebook semalam.
Semalam, Zahidi dalam sidang Dewan Negara mendakwa Veveonah adalah seorang Youtuber dan tidak menduduki sebarang peperiksaan secara dalam talian ketika video tersebut dirakam tetapi dibuat hanya untuk hiburan.
Namun begitu, beliau membuat permohonan maaf kepada pelajar itu dan mengeluarkan kenyataan mendapat maklumat tidak tepat dalam menjawab soalan tambahan.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Donald Peter Mojuntin yang membangkitkan isu video tular Veveonah ketika bertanya tindakan kerajaan bagi memastikan keseimbangan capaian internet antara bandar dan luar bandar khususnya di Sabah. – Malaysiapost
