PENYANYI Macam Di KK, Janrywine J Lusin bakal bertanding atas tiket Parti Liberal Demokratik (LDP) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 September ini.
Janrywine antara kira-kira 40 daripada 200 individu yang ditemuduga berjaya memenuhi kriteria calon yang dicari parti berkenaan.
Beliau turut hadir pada sidang media LDP yang dihadiri Presiden Kehormat Seumur Hidup parti itu yang juga bekas Ketua Menteri, Tan Sri Chong Kah Kiat dan Presidennya, Datuk Chin Su Phin, semalam.
Bagaimanapun, LDP belum membuat pengumuman rasmi senarai calon dan ia dijangka diumumkan beberapa hari sebelum penamaan calon yang dijadual Sabtu depan.
Ketika ditemui sebelum ini, Janrywine berkata beliau setuju bertanding pada PRN kali ini dan memilih kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawang sebagai landasan memperjuangkan nasib artis Sabah.
“Saya mahu menjadi suara golongan artis tempatan Sabah di Dewan Undangan Negeri (DUN) selain menyumbang sesuatu yang lebih baik kepada rakyat di Kawang,” katanya.
Ini kali pertama LDP bertanding banyak kerusi dengan lebih 40 kawasan dan mempertaruhkan calon muka baharu bukan Cina.
Ketika bersama Barisan Nasional (BN) sebelum ini, LDP hanya diberi kerusi majoriti pengundi Cina dengan hanya tiga atau empat kerusi kerana terpaksa berbahagi dengan parti lain.
Bagaimanapun, selepas keluar BN pada Mei 2018, ia menjadi parti yang bebas untuk menentukan sebanyak mana kerusi ditandingi termasuk di kawasan majoriti Bumiputera Islam dan Kadazandusun Murut (KDM).
Janrywine adalah antara perintis calon KDM yang membawa lambang LDP.
Menurut presidennya, LDP sebenarnya adalah parti berasaskan pelbagai kaum seperti Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Warisan Sabah (Warisan), namun tidak dapat mempraktikkannya ketika di bawah BN sebelum ini.

