Bayi kritikal, merangkak sendiri jatuh ke dalam kolam

0
2

SEORANG bayi lelaki berusia 12 bulan berada dalam keadaan kritikal tidak sedarkan diri kerana dipercayai terjatuh dalam kolam buatan sendiri di rumah keluarganya, semalam.

Polis menerima laporan kejadian itu daripada pihak Hospital Kajang pada jam 9.11 pagi ketika bayi malang itu dibawa untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata kejadian itu berlaku di rumah keluarga bayi itu di Bandar Tasik Kesuma, Beranang.

Katanya, pihak Hospital Kajang telah merujuk bayi itu ke di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) Hospital Tunku Azizah Kuala Lumpur.

“Berdasarkan siasatan, mangsa tidur di ruang tamu kediaman terbabit sebelum itu, manakala bapanya tidur di dalam bilik dan ibu serta nenek mangsa memasak di dapur.

“Selesai memasak, ibu menyedari ketiadaan mangsa lalu mencari di sekitar rumah sebelum ditemukan separuh tenggelam dalam kolam buatan sendiri di kawasan rumah.

“Mangsa dipercayai merangkak keluar ke halaman rumah melalui pintu utama yang tidak berkunci sebelum terjatuh ke dalam kolam itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zaid berkata, mangsa kemudiannya dikejarkan ke poliklinik berhampiran sebelum dibawa ke Hospital Kajang dan seterusnya dipindahkan ke PICU Hospital Tunku Azizah.

Katanya, kes masih disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Beliau menyeru individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Suresh di talian 017-4333795 atau 03-89114222 atau mana-mana balai polis berhampiran. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here