PENGASAS Rumah Bonda yang ditahan susulan kes penderaan remaja Sindrom Down berusia 13 tahun dikenali dengan Bella, dibebaskan hari ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata wanita berusia 29 tahun itu dibebaskan selepas permohonan reman dibuat pihaknya hari ini, tidak diluluskan mahkamah.
Terdahulu, polis memaklumkan penahanan wanita itu susulan susulan nasib menimpa remaja kurang upaya terbabit, dipercayai didera di pusat kebajikan milik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu.
Perintah sita turut dikeluarkan ke atas rumah kebajikan yang terletak di Taman Setapak itu melalui perintah mahkamah yang dikeluarkan 5 Julai lalu.
Pelindung Unit Kanak-Kanak di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut mengambil tindakan mengeluarkan enam kanak-kanak daripada rumah kebajikan itu yang didapati beroperasi secara haram sejak 2019 dan tidak berdaftar dengan JKM.
Mengulas lanjut, Abdul Jalil berkata, kertas siasatan kes mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya Kuala Lumpur pada Selasa lalu dengan cadangan menuduh suspek bersama tiga yang lain.
Pada Rabu pula, katanya satu lagi kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan, serta Seksyen 5(2) Akta Pusat Asuhan 1953 kerana gagal memberi jagaan dan pengawasan mencukupi.
“Suspek ditahan jam 10.36 pagi semalam di kediamannya di Wangsa Maju dan dibuat permohonan reman hari ini.
“Namun mahkamah tidak meluluskan permohonan tersebut dan suspek dibebaskan,” katanya. – Malaysiapost

