Prestasi Malaysia paling teruk tangani Covid-19 – Kit Siang

0
2

VETERAN DAP, Lim Kit Siang berkata kerajaan perlu menjelaskan bagaimana cara negara beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) Ogos ini, sedangkan kes harian Covid-19 melebihi tiga atau empat kali ganda jumlah purata 4,000 kes setiap hari.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, tambahan pula kini unit rawatan rapi (ICU) hospital di Lembah Klang semakin sesak dan berada di ambang kelumpuhan.

“Kabinet (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) tidak boleh memberikan gambaran palsu dan tidak jujur mengenai wabak Covid-19 atau mendakwa bahawa strategi kerajaan, termasuk pelaksanaan darurat selama enam bulan, bukanlah kegagalan yang menyedihkan dalam perang melawan wabak Covid-19.

“Kejujuran adalah polisi terbaik dan kerajaan harus menanggung kesalahannya melaksanakan strategi yang gagal dalam perang melawan wabak Covid-19, kerana rakyat dapat memaafkan kesalahan tetapi bukan ketidakjujuran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kit Siang berkata, sudah tiba masanya membuang dasar PPN dan menyusun strategi serta pendekatan baharu untuk mengendalikan Covid-19 pada lima hari sidang Parlimen akan datang.

Katanya, Perdana Menteri harus menyedari bahawa Malaysia negara paling teruk di dunia dalam menangani wabak Covid-19 terutama sepanjang darurat berkuatkuasa sejak enam bulan lalu.

Jelasnya, dengan jumlah kumulatif kes Covid-19 berjumlah 880,782, Malaysia kini berada di kedudukan ke-32 antara negara dengan jumlah kumulatif kes Covid-19 tertinggi, sedangkan lapan bulan lalu, Malaysia di kedudukan ke-85 dan mengatasi 53 negara lain.

“Dalam indeks ‘Kes harian per sejuta penduduk’ untuk 14 Julai 2021 seperti disiarkan di laman web Our World in Data, Malaysia mencatatkan 299.15 kes, tidak hanya menewaskan China, India, Jepun, Indonesia dan Filipina, bahkan mendahului Amerika Syarikat, Brazil dan Mexico.

“Kita adalah negara ke-13 teratas untuk kedua-dua kategori jumlah kes harian baharu Covid-19 dan jumlah kes kematian baharu akibat wabak itu,” ujarnya.

Semalam, Malaysia mencatatkan 13,215 kes harian baharu dan paling tertinggi dalam sejak virus Covid-19 melanda negara.

Kes harian Covid-19 tidak menunjukkan penurunan apabila mencatatkan 11,618 kes pada Rabu dan Selasa dengan 11,079 kes. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here