Zahid bidas fitnah gambarnya makan bersama Guan Eng

0
4
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membidas pihak yang menyebarkan fitnah kononnya Umno sedang giat untuk melakukan penjajaran baharu dengan DAP.

Presiden Umno itu menafikan sekeras-kerasnya gambar tular di media sosial yang memaparkan beliau sedang bersila sambil menikmati nasi bungkus bersama Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

“Mereka mahu ‘menyerang’ saya menggunakan gambar ini pula. Fitnah dengan mereka tidak dapat dipisahkan.

“Sebenarnya gambar ini ketika Pulau Pinang dilanda banjir besar pada 2017.

“Ketua Menteri (Lim Guan Eng) Pulau Pinang hubungi saya pukul 3 pagi minta bantuan kerajaan Pusat. Selepas kerajaan negeri tidak berupaya menangani banjir yang berlaku,” katanya di Facebook hari ini.

Berkongsi mengenai gambar itu, Ahmad Zahid menjelaskan, foto itu menunjukkan ‘kenangan’ Barisan Nasional (BN) yang menguasai tampuk pemerintahan negara ketika itu tidak memilih bulu dalam menjaga kebajikan dan keselamatan rakyat Malaysia.

“Tanpa mereka sedari gambar itu membuktikan sebaliknya. Membuktikan tentang pentadbiran kerajaan Umno/BN yang bertanggungjawab.

“Membuktikan kerajaan Umno/BN tidak bermain politik dalam mentadbir negara. Apatah lagi tatkala rakyat dihimpit kesusahan dan penderitaan.

“Kerajaan Umno/BN serta merta hantar segala bantuan dan saya sebagai TPM turun padang. Begitu caranya jadi kerajaan Malaysia. Jaga rakyat dan negara sepenuh hati,” katanya.

Tanpa menyebut pihak tertentu, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menyindir dengan sinis pihak yang menggunakan pelbagai helah demi mengekalkan kuasa politik daripada memikirkan nasib rakyat.

“Bukan menutup pintu Parlimen dan menggantung demokrasi. Bukan menyalahgunakan Ordinan Darurat untuk kepentingan diri. Bukan memandang mudah bantuan dan tuntutan rakyat.

“Bukan terus dalam sindrom penafian tentang ekonomi yang merundum. Bukan memperkotak-katik titah Agong dan Raja-Raja Pemerintah,” katanya.

Ahmad Zahid juga membidas pihak yang menyerangnya kerana berterusan mencipta fitnah daripada memikirkan nasib rakyat yang semakin menderita sepanjang pandemik Covid-19 melanda.

“Pokoknya sudah hampir 4 tahun Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berlalu. Kini sudah tahun 2021, tetapi mereka masih bergelumang dengan fitnah.

“Kita berhujah tentang fakta, mereka cekal dengan tipu daya. Rakyat sedang menderita, negara menuju kegagalan. Namun mereka seolah-olah tidak peduli semua ini.

“Terus bermain politik tetapi Umno pula dituduh bermain politik. Kita pukul rata sahaja tentang mereka ini sebab mereka sebenarnya masih sekapal,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here