
Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) berkata tarikh pelaksanaan bagi warga emas di Selangor dan Kuala Lumpur mendapatkan vaksin tanpa pendaftaran akan dimaklumkan kelak.
CITF dalam satu kenyataan media berkata ia bagi membolehkan perancangan inisiatif ini dimuktamadkan seperti urusan logistik serta penghantaran bekalan stok vaksin di semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
“Selain itu, merancang susunan waktu inisiatif walk-in ini penting untuk menggelakkan kesesakan di PPV terutama bagi warga emas ketika jumlah kes jangkitan Covid-19 yang semakin tinggi,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba mengumumkan individu berusia 60 tahun ke atas di Selangor dan Kuala Lumpur boleh terus mendapatkan suntikan di pusat pemberikan vaksin (PPV) tanpa perlu pendaftaran.
Dr Adham dilaporkan berkata kaedah itu dilaksana berikutan masih ada individu lingkungan usia berkenaan belum menerima suntikan pelalian.
CITF turut meminta warga emas yang tidak mempunyai janji temu vaksinasi untuk tidak hadir ke mana-mana PPV esok sehingga maklumat lanjut berkenaan inisiatif ini diumumkan dalam masa terdekat. – Malaysiapost
